KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hari ini menjelaskan bahawa rasa cinta dan syukur yang mendalam terhadap Malaysia adalah sebab utama beliau terus aktif mengambil berat tentang kesejahteraan negara.
Dalam satu hantaran media sosial di platform X, Dr. Mahathir menjawab persoalan sesetengah pihak yang bertanya mengapa beliau tidak bersara sahaja memandangkan usianya yang sudah berusia 100 tahun.
“Jawapan saya — kenapa pula saya tak patut ambil peduli?” soal beliau dalam kenyataan itu.
Tun Dr. Mahathir menegaskan bahawa adalah tidak wajar untuk beliau tidak mengambil kisah tentang negara yang telah memberikannya kehidupan yang selamat dan terjamin.
Beliau menegaskan antara sebab-sebab utamanya adalah beliau merupakan seorang Melayu warganegara Malaysia yang dilahirkan, dibesarkan dan mendapat banyak manfaat daripadanya.
Beliau juga menyatakan tiada negara hebat selain Malaysia yang mempunyai iklim yang baik, tanah yang subur, serta kaya dengan hasil galian. Sambil percaya Malaysia mampu memberikan lebih banyak manfaat jika diurus dengan betul, negarawan itu juga menegaskan Malaysia adalah satu-satunya tanah airnya.
Beliau menyimpulkan bahawa inilah sebabnya beliau secara aktif menunjukkan keprihatinan terhadap Malaysia, negara miliknya. Dalam nota tambahan, Dr. Mahathir turut menyatakan bahawa beliau tidak lupa ada pihak lain di dunia yang tidak mempunyai negara sendiri.
“Sebab itu saya sayang negara ni. Dan saya akan sayang sampai hujung nyawa,”
-Tun Dr Mahathir Mohamad (14 Julai 2025)