HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Mahathir Khianat Negara, Mengapa Tiada Tindakan?

Tun Dr Mahathir di himpunan Turun Anwar.

Tun Dr Mahathir di himpunan Turun Anwar. Foto oleh: Lensa Selipar

KUALA LUMPUR – Hari ini Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak memintas Peguam Negara (AG) dalam sebarang keputusan berkaitan Batu Puteh, termasuk yang melibatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau memberitahu bahawa Kabinet telah meneliti syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyeru siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir, namun memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang disebabkan ketiadaan siasatan polis. Anwar seterusnya menafikan keputusan tersebut bersifat unilateral (sebelah pihak) seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, lapor New Straits Times.

Anwar berkata, RCI mencadangkan laporan difailkan terhadap Dr Mahathir atas dakwaan mengkhianati negara, namun keputusan kabinet memilih untuk menganggap perkara itu sebagai pengajaran dan atas faktor umur negarawan itu.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan berkata keputusan sedemikian hanya boleh dibuat oleh AG, yang memegang kuasa untuk memulakan pendakwaan. Perikatan Nasional (PN) telah pun mengemukakan usul untuk merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hak Istimewa.

Persoalannya, dengan istilah “mengkhianati negara” seperti yang disebut oleh Anwar kepada pemberita, apa yang mendorong kabinet untuk menganggapnya hanya sebagai pengajaran? Adakah keputusan ini didorong oleh keberadaan Anthony Loke dan Mohamad Sabu dalam kabinet Anwar, yang juga pernah berada dalam kabinet Tun Dr Mahathir pada tahun 2018.

Atau adakah kerana keberadaan Wan Azizah sebagai orang nombor dua, yang juga berada dalam mesyuarat kabinet ketika keputusan penarikan semakan keputusan ICJ (2008) itu dibuat?

"Ketiga-tiga individu ini wajar memberi justifikasi terhadap keputusan kabinet Anwar “memaafkan Dr Mahathir yang didakwa mengkhianat negara”."

Persoalan kedua, mengapa Anwar dan kabinet tidak membuat keputusan sebagai "mengambil pengajaran" dalam isu melibatkan Allahyarham Tun Daim? Sebaliknya beberapa lagi aset milik keluarganya di luar negara terus disita.

Lebih aneh, kedua-dua "isu" yang melibatkan tokoh-tokoh negarawan ini, tiada sebarang pertuduhan yang jelas di mahkamah berkait isu "khianat" dan "sakau", melainkan pertuduhan yang keluar dari mulut Anwar Ibrahim di media-media arus perdana setiap hari.

Saya yakin, tatkala Dr Mahathir, menolak “kekebalan” berhubung perkara ini dan bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang, tersimpan seribu satu kebenaran yang ingin diceritakan oleh negarawan 100 tahun itu kepada mahkamah. Tidak sekadar mencari keadilan buat dirinya, malah juga untuk insan seperti Daim yang telah mendiam sekian lama.

Apa yang cuba dirahsiakan Anwar Ibrahim dari pengetahuan umum? Jika beliau anak jantan, ikut syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan bawa ke muka pengadilan. Jangan hanya pandai bermain persepsi.