Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam prosiding pemeriksaan balas saman fitnahnya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi, mempertikaikan sebahagian 227 soalan dari peguam Anwar yang tidak langsung relevan.
Beliau juga menegaskan bahawa soalan-soalan tersebut tidak berkaitan dengan isu utama kes tersebut iaitu tentang fitnah yang dilemparkan oleh Anwar Ibrahim atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri.
Dalam prosiding berkenaan, Dr. Mahathir membantah soalan yang dikemukakan oleh seorang lagi peguam Anwar, Ranjit Singh, dengan mendakwa ia "tiada kaitan" dengan tuntutan samannya.
Ini kerana prosiding hanya tertumpu pada dakwaan bahawa statusnya sebagai negarawan terjejas akibat kenyataan fitnah Anwar.
Dr Mahathir menyatakan bahawa soalan Ranjit, yang antaranya berkaitan kekalahan parti politiknya, Pejuang, pada pilihan raya kecil Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, adalah mengenai peribadinya dan bukan dakwaan fitnah terhadapnya.
"Saya ingin nyatakan bahawa soalan-soalan yang diajukan tidak ada kena-mengena dengan aduan saya bahawa Anwar memfitnah saya," kata Dr. Mahathir, sambil menambah, "Anwar tuduh saya curi wang, memperkayakan diri dan anak-anak saya, tidak bayar cukai dan hantar wang ke luar negara. Semua itu adalah tuduhan terhadap saya yang saya dakwa sebagai fitnah. Tetapi setakat ini, saya hanya ditanya tentang peribadi saya."
Bimbang dengan tempoh prosiding, Dr Mahathir turut memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman bahawa pada kadar semasa, soalan yang dikemukakan oleh Ranjit mungkin mengambil masa "10 hingga 15 tahun" untuk diselesaikan, merujuk kepada usianya.
"Saya tidak ada masa, Yang Arif, kerana saya sudah berusia 100 tahun... Mungkin saya sudah mati sebelum kes ini selesai, jadi saya tidak akan dapat keadilan ketika masih hidup," katanya, sambil berharap soalan dapat kembali kepada aduan asal dalam pernyataan tuntutannya.
Prosiding akan bersambung pada 29 Oktober 2025.