KUALA LUMPUR: Aktivis Wan Muhammad Azri Wan Deris meluahkan rasa kesal dan curiga terhadap tindakan pihak polis yang didakwa memusnahkan bukti utama dalam satu insiden sabotaj di kediamannya di Setapak, Selasa lalu.
Bercakap kepada Malay Digest selepas memberi keterangan di Balai Polis Setapak hari ini, beliau mendakwa peranti penyekat isyarat (jammer) berkualiti tinggi yang diletakkan di hadapan rumahnya adalah peralatan gred tentera atau pihak berkuasa yang memerlukan kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Bagaimanapun, Azri mendakwa pihak polis sebaliknya menghantar Unit Pemusnah Bom (UPB) untuk meletupkan peranti tersebut pada jam 2.20 pagi, 29 April, meskipun beliau telah meminta pasukan forensik hadir bagi pengesanan cap jari.
""Pihak polis hantar unit pemusnah bom untuk meletupkan satu-satunya bukti yang ada. Ini khianat yang membahayakan saya, isteri, dan anak-anak," katanya mengikut keterangan beliau.
Azri turut mempersoalkan tindakan pantas pihak polis yang mengklasifikasikan laporan asalnya pada 29 April sebagai "Tiada Tindakan Lanjut" (NFA).
Beliau mendakwa alasan yang diberikan adalah kononnya beliau tidak membuat laporan polis, sedangkan beliau telah memaklumkan lebih awal bahawa beliau mempunyai urusan kes mahkamah pada tarikh tersebut.
"Saya hairan mengapa terlalu awal laporan itu berstatus NFA. Lebih pelik, rakaman insiden tersebut juga didapati telah dipadamkan di semua platform media sosial," jelasnya yang mengesyaki wujud cubaan untuk menutup pengetahuan umum terhadap liputan insiden berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai suspek, Azri mengaitkan insiden itu dengan ancaman daripada seorang individu bernama Salim Abdul Rahman.
Beliau mendakwa pada siang hari kejadian (28 April), Salim telah membuat ugutan melalui siaran langsung di TikTok dengan menyatakan, "Hang nak mampus, malam ni kami nak bagi. Hang tunggu malam ni".
Kira-kira jam 11.55 malam hari yang sama, isteri Azri mengesan seorang lelaki berhud meletakkan bungkusan hitam di hadapan rumah mereka sebelum melarikan diri, yang mengakibatkan gangguan serta-merta pada sambungan Wi-Fi kediaman tersebut.
Susulan perkembangan itu, Azri mendesak agar satu siasatan telus dilakukan terhadap serangan khianat berkenaan, termasuk siasatan dalaman ke atas pegawai dan anggota yang bertugas pada malam kejadian.
Beliau menyatakan kebimbangan sekiranya wujud unsur sabotaj atau komplot terancang daripada pihak polis sendiri berikutan tindakan memusnahkan bukti utama tersebut.
"Saya bimbang kejadian ini merupakan permulaan kepada sabotaj yang lebih berbahaya seperti cubaan meletakkan bom, dadah, atau senjata api di kediaman saya pada masa hadapan," tambahnya lagi dalam laporan tersebut.