KUALA LUMPUR – Ratusan ribu peserta ‘Himpunan Turun Anwar’ anjuran Dewan Pemuda PAS dan badan bukan kerajaan (NGO) membanjiri Dataran Merdeka hari ini, dengan tuntutan utama agar Anwar Ibrahim meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Perhimpunan yang berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal ini menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang membawa mesej bantahan terhadap isu kos sara hidup, kebebasan bersuara, dan dasar kerajaan yang didakwa tidak mesra rakyat.
Peserta himpunan mula kelihatan berkumpul seawal pukul 7 pagi di beberapa lokasi tumpuan sebelum berarak ke lokasi utama Dataran Merdeka sekitar pukul 2 petang. Lokasi perhimpunan awal termasuk Kompleks beli-belah Sogo, Masjid Negara, Pasar Seni dan Masjid Jamek.
Peserta juga dilihat memakai kemeja-T seragam tertera logo Turun Anwar, manakala sebahagian lagi berpakaian hitam. Suasana di Dataran Merdeka menjadi semakin gamat sekitar jam 2.50 petang apabila peserta mula memenuhi kawasan tersebut dan melaungkan slogan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri. Sepanduk dan kain rentang dengan pelbagai mesej bantahan juga jelas kelihatan.
Pihak polis menganggarkan seramai 10,000 hingga 15,000 peserta berdasarkan unjuran tidak rasmi dan kemudian mengesahkan sekitar 18,000 orang menyertai himpunan itu. Penganjur yang awalnya menjangkakan sehingga 300,000 peserta, dengan lidah rasmi PAS, Harakahdaily, mendakwa sasaran telah dicapai setakat jam 3 petang.
Tinjauan media-media arus perdana di lapangan pula menganggarkan antara 15,000 ke 25,000 peserta yang menyertai perhimpunan.
"Himpunan ‘Turun Anwar’ adalah antara perhimpunan terbesar diadakan sejak perhimpunan BERSIH pada tahun 2012 dan 2015."
Dalam pada itu, Presiden Parti Rakyat India Malaysia, P Punithan, menyatakan lebih 3,000 orang India menyertai perhimpunan itu, menegaskan agenda tunggal mereka adalah menuntut peletakan jawatan Anwar Ibrahim tanpa mengira latar belakang kaum.
Himpunan ‘Turun Anwar’ adalah antara perhimpunan terbesar diadakan sejak perhimpunan BERSIH pada tahun 2012 dan 2015. Bagaimanapun matlamat asal himpunan ini pada Februari lalu adalah untuk membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA). Namun pada Jun, sayap Pemuda PAS telah menjenamakan semula himpunan itu, dengan memberi tumpuan kepada tuntutan agar Anwar meletak jawatan berdasarkan isu yang timbul daripada keputusan perdana menteri.
Setakat ini Polis Kuala Lumpur mengesahkan perhimpunan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal, tanpa sebarang laporan polis dibuat sepanjang acara. Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan, memaklumkan lebih 3,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi mengawal keselamatan.