HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Kesan ART Jauh Lebih Teruk Dari Batu Puteh

Peguam Rafique Rashid

Peguam Rafique Rashid (kiri) dan negarawan Tun Dr Mahathir (tengah).

Peguam Rafique Rashid, hari ini membidas perbandingan antara isu kedaulatan berkaitan Batu Puteh dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART 2025), dengan mendakwa ART 2025 mempunyai kesan yang "jauh lebih mendalam" sehingga menjadikan Malaysia "negara naungan Amerika."

Dalam satu hantaran di Facebook, Rafique membandingkan kesan kedua-dua isu itu, dengan menyatakan bahawa Batu Puteh mempunyai keluasan kira-kira 8,560 meter persegi, manakala ART 2025 didakwa memberi kesan kepada keseluruhan 330,803 kilometer persegi negara.

Beliau berkata demikian susulan pemerhatiannya bahawa ramai yang membandingkan kedua-dua peristiwa itu apabila isu kedaulatan timbul, terutamanya kritikan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "menggadai negara".

Mengulas mengenainya , Rafique turut menyentuh mengenai pendirian Jemaah Kabinet Madani yang memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan setelah mengambil kira faktor umur negarawan itu.

"Tun pula seperti biasa tiada segan tiada silu, tegas. Kalau salah dakwa dan beliau akan jawap di Mahkamah,"

tambahnya.

Menyentuh secara khusus mengenai kes Batu Puteh, Rafique menegaskan bahawa Malaysia telah lama kehilangan wilayah itu dengan berhujah bahawa tindakan yang sering dipertikaikan itu hanyalah penarikan balik permohonan semakan semula atas nasihat peguam pakar yang dilantik Kerajaan Barisan Nasional.

Beliau turut mempersoalkan tindakan memadamkan sejumlah 47 muka surat Laporan RCI Batu Puteh yang dibentang Kerajaan di Parlimen.

"Yang pasti juga adalah pembaca hantaran ini (Facebook) boleh sahaja komen kerana saya tidak akan tangguh atau tarik balik penulisan ini sepertimana usul Kerajaan di Dewan Rakyat tempoh hari tentang Batu Puteh kerana majoriti ahli parlimen mula lawan usul Kerajaan,"—Rafique Rashid