HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak Akan Ditambah—Anwar

Anwar Ibrahim mengumumkan pertambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak

Anwar Ibrahim di Program Himpunan Keadilan sempena 27 tahun reformasi di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar, di Tawau

KUALA LUMPUR—Anwar Ibrahim, semalam mengumumkan bahawa peruntukan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak akan ditambah, sebagai memenuhi permintaan kedua-dua negeri itu di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Anwar, pengumuman ini adalah kali pertama sejak tahun 1993 yang membabitkan pertambahan kerusi Parlimen bagi Borneo.

“Sejak 1993, buat pertama kalinya, Anwar, yang kini Perdana Menteri, telah mengumumkan bahawa kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan ditambah,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Keadilan sempena 27 tahun reformasi di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar, di Tawau, semalam.

Mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, dituntut dari Sarawak dan Sabah.

Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.

Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen.