ALOR SETAR – Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan bahawa beliau akan terus berjuang untuk bangsa dan negara selagi hayat dikandung badan, meskipun sering disarankan untuk bersara tatkala menginjak ke usia 100 tahun.
Dalam satu kenyataan di platform Facebook dan X semalam, Dr Mahathir menyentuh pertanyaan mengenai mengapa beliau masih bergelut dan berjuang, meskipun usianya sudah mencecah satu abad.
"Saya sudah tua, berusia seratus tahun satu abad. Bersaralah. Biarlah orang muda mengambil alih tugas," katanya, mengulang kembali saranan yang sering diterimanya.
Namun, Dr Mahathir menegaskan bahawa rasa sayangnya kepada negara tidak pernah luntur.
"Ini negara saya. Saya dilahir di sini. Saya membesar di sini. Pahit maung dan suka duka pun di sini," ujarnya.
Beliau turut menekankan identitinya sebagai seorang Melayu dan menyebut Malaysia sebagai "negara Melayu, negara saya".
"Sebab itu selagi ada hayat akan saya sumbang tenaga dan akal fikiran kepada negara dan bangsa"
Menyedari nasib mereka yang tidak mempunyai negara, Dr Mahathir menyatakan kesyukuran atas nikmat mempunyai negara sendiri. Namun, beliau turut memberi amaran bahawa negara perlu dipelihara dengan baik, jika tidak, ia akan hilang.
"Sebab itu selagi ada hayat akan saya sumbang tenaga dan akal fikiran kepada negara dan bangsa," janji beliau.
Meskipun sedar akan usianya yang tua, Dr Mahathir menyatakan hasrat untuk bersama yang muda dalam usaha memelihara bangsa dan melindungi negara tercinta.
"Selepas saya pergi, merekalah yang akan take over," akhiri beliau.