HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Kerajaan Madani Sedang Takut Dengan Rakyat—Peguam

Rafique Kumar

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, CP Datuk M. Kumar dan Peguam Rafique Rashid

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid hari ini membidas kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perdebatan di media sosial, dan menyifatkan ia sebagai satu bentuk intimidasi bagi menakutkan rakyat.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Rafique menegaskan bahawa walaupun PDRM memetik Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948 mengenai perbuatan yang mendatangkan kebencian atau rasa tidak setia kepada kerajaan, pihak berkuasa itu gagal menerangkan pengecualian di bawah Seksyen 3(2) akta yang sama.

"Tahukah PDRM dan Kerajaan serta penyokong Madani bahawa sesuatu itu tidak menghasut kalau ianya adalah untuk menunjuk kesilapan atau kekurangan mana-mana Kerajaan," katanya.

Beliau mempersoalkan pendirian kerajaan yang seolah-olah tidak boleh dipersoal apabila rakyat mengkritik Perdana Menteri (PMX) dan pentadbiran Madani kerana gagal menunaikan janji-janji mereka.

"Apa yang salah kalau rakyat mahu tunjuk Kerajaan salah? Apa rakyat tiada hak kritik?" soalnya lagi.

Terdahulu pada petang ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, CP Datuk M. Kumar mengeluarkan kenyataan media menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan hantaran berbaur hasutan serta perdebatan provokatif mengenai dasar kerajaan dan isu-isu semasa.

Menurut PDRM, tindakan sedemikian boleh memicu kontroversi dan menjejaskan keharmonian awam. PDRM turut mendedahkan bahawa bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, sebanyak 30 kes telah direkodkan dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Pihak polis turut memberi amaran bahawa kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk menyebarkan penghinaan atau fitnah.

Mengulas lanjut mengenai tindakan polis itu, Rafique mendakwa kerajaan Madani dengan bantuan PDRM sedang cuba mencipta persetujuan awam (manufacture consent). Beliau mendakwa langkah ini adalah untuk membuka jalan agar media sosial dipadamkan atau akses disekat, sekaligus membuatkan rakyat takut untuk memberikan kritikan.

"Kerajaan sedang takut dengan rakyat! Rakyat perlu berani. Mengkritik itu bukan hasutan. Itu hak rakyat," tegasnya, sambil mengingatkan bahawa tugas utama PDRM adalah untuk menjaga keselamatan rakyat, bukannya menyebarkan ketakutan.