HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Kerajaan Madani Hanya Pengurus, Bukan Pemilik 'Ladang' Minyak

Aktivis Rakyat, Isham Jalil

Aktivis Rakyat, saudara Isham Jalil

IJOK - Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim didakwa menggunakan "kos subsidi fantasi" dan kiraan "syok sendiri" berhubung jumlah perbelanjaan subsidi negara semata-mata untuk menakut-nakutkan rakyat, kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil.

Berucap pada satu ceramah di Dewan Darul Ta'lim di sini malam tadi, Isham mendakwa bahawa jumlah subsidi RM3 hingga RM6 bilion yang sering disebut oleh Anwar bukanlah perbelanjaan tunai sebenar yang dikeluarkan kerajaan. Sebaliknya hanya nilai "kos peluang" yang hanya wujud di atas kertas.

"Sebab itu Petronas tak sebut benda ni. CEO Petronas pun segan-segan nak sebut sebab dia tahu ini kos subsidi angan-angan, bukan betul, ini atas kertas," jelas Isham.

Bagi menjelaskan perkara itu secara ringkas, beliau memberikan analogi seorang pesawah yang memberi makan beras dari hasil bendang sendiri kepada anak-anak mereka. Menurut Isham, apabila harga beras dunia meningkat naik ekoran peperangan di negara luar, pesawah itu mula mengira potensi keuntungan yang terlepas atau kerugian jika beras tersebut tidak dijual kepada pihak luar.

"Contoh bila harga beras naik RM50 sekampit, pesawah tadi rasa rugi nak bagi anak dia makan, lebih baik jual lagi untung. Masalahnya kalau kita dah jual beras tu, habis anak kita nak makan apa? Jadi RM6 bilion kos subsidi yang disebut Anwar Ibrahim itu adalah potensi keuntungan kalau minyak kita dijual" ujarnya.

Dalam masa sama, Isham turut membidas kenyataan bekas Menteri MITI, Tengku Zafrul baru-baru ini yang melabelkan Petronas sebagai syarikat komersial. Beliau menegaskan bahawa Petronas adalah entiti milik kerajaan 100 peratus, yang bermaksud ia merupakan hak milik rakyat secara mutlak.

Beliau turut menyelar sikap pentadbiran Anwar yang diumpamakannya sebagai "pengurus ladang" yang merasakan pemberian subsidi itu seolah-olah sedekah kepada rakyat, walhal rakyat adalah pemilik ladang tersebut.

Menyentuh isu rasionalisasi harga diesel hingga mencecah RM6.70 di Semenanjung, Isham mempertikaikan alasan kerajaan yang mengaitkannya dengan masalah penyeludupan. Beliau menyifatkan hujah itu sebagai pincang kerana Sabah dan Sarawak yang memiliki garis sempadan antarabangsa terpanjang juga terdedah kepada isu penyeludupan berskala besar.

Tambahnya, pengecualian pemotongan subsidi di negeri-negeri Borneo itu dilihat lebih didorong oleh rasa takut kehilangan sokongan politik berbanding alasan pembanterasan ketirisan.

Di samping itu, Isham mempersoalkan tindakan kerajaan dan para penyokongnya di media sosial yang dilihat sengaja mengelak daripada bercakap mengenai keuntungan berlipat ganda yang dinikmati negara menerusi sektor gas hasil kenaikan harga pasaran dunia.

Menurut beliau, sebagai antara lima negara pengeluar gas teratas dunia, Malaysia membuat keuntungan yang sangat besar terutamanya apabila bekalan gas ke negara seperti Jepun dan Korea langsung tidak terjejas dengan sebarang konflik di Timur Tengah, kerana laluan pengeksportan negara tidak perlu melalui Selat Hormuz.

"Tanya dia pasal untung gas berapa? Tanya dia pasal kos subsidi RM6 bilion tu, kos betul ke kos tipu-tipu? Jawapannya kos olok-olok," bidas Isham yang mendakwa kerajaan kini cuba memperbodohkan pemikiran rakyat.