PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam menangguhkan keputusan berhubung rayuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung dakwaan kenyataan fitnah yang dibuat Musa dalam satu forum di sebuah universiti awam beberapa tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azimah Omar membuat keputusan tersebut selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak. Turut bersidang ialah Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman.
Menurut Hakim Azimah, mahkamah memerlukan masa untuk meneliti keseluruhan hujahan yang dikemukakan.
Semasa prosiding, Hannah selaku perayu diwakili peguam-peguam Razlan Hadri Zulkifli, Datuk S. Ambiga dan Sangeet Kaur Deo manakala Musa sebagai responden diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Hannah memfailkan rayuan pada 26 Disember tahun lalu, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2023 menolak saman fitnah yang difailkannya terhadap Musa.
Ketika itu, Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi menolak saman tersebut selepas mendapati plaintif gagal membuktikan kenyataan Musa bersifat fitnah atau dibuat dengan niat jahat.
Mahkamah turut berpandangan bahawa forum tersebut dilindungi oleh keistimewaan dan kenyataan yang dibuat oleh defendan mempunyai asas munasabah berdasarkan pengakuan serta penulisan Hannah dalam bukunya Becoming Hannah: A Personal Journey.
"Defendan bercakap dalam forum yang membincangkan isu keselamatan negara sebagai bekas Ketua Polis Negara dan kenyataan yang dibuat adalah dalam konteks kebimbangan terhadap ancaman keselamatan. Tiada bukti menunjukkan niat jahat kerana kenyataan tersebut dibuat berdasarkan analisis akademik.
"Selain itu, defendan hanya dijemput sebagai penceramah dan tidak mengetahui sesi tersebut akan disiarkan secara langsung di Facebook serta tidak mempunyai kawalan terhadap penerbitan kenyataan itu," katanya dalam penghakiman terdahulu.
Ekoran keputusan itu, mahkamah memerintahkan Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Musa.
Menerusi saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan pada forum itu dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai dirinya dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Kenyataan yang dipertikaikan itu mendakwa Hannah menulis bukunya Becoming Hannah: A Personal Journey untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan Malaysia dan meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.
—UTUSAN MALAYSIA