Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa Kerajaan Madani telah terbukti gagal selepas menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas—ART.
Dakwaan itu dibuat Ketua Penerangannya, Rafique Rashid, merujuk kenyataan terbaru Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), di portal berita Bernama bertarikh 13 November 2025, yang menurutnya, telah berubah nada.
Rafique menegaskan bahawa sebelum ini, pelbagai video dan kenyataan dibuat untuk mempertahankan ART di samping mengkritik semua pihak sebagai tidak betul. Namun kenyataan Tengku Zafrul bahawa "Kerajaan akan semak semula perjanjian tersebut untuk memastikan hak negara terjaga" adalah bukti terbaharu kegagalan pentadbiran Anwar Ibrahim.
Rafique turut menempelak Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwanya sebelum ini menyalahkan pengkritik perjanjian itu sebagai "tidak membaca perjanjian itu sepenuhnya."
"Hari ini terang yang tidak baca sebelum tandatangan guna pena White House adalah Anwar sendiri," dakwanya.
Menurut Rafique, kegagalan itu turut melibatkan Menteri MITI dan semua anggota Kabinet Madani yang disifatkannya sebagai bertanggungjawab secara bersama.
Rafique secara khusus merujuk kepada Klausa 5.1 dalam perjanjian ART, yang didakwa Pejuang menyebabkan Malaysia hilang hak menentukan dasar sendiri, hilang hak kebebasan dalam membuat keputusan dan terikat dengan telunjuk kuasa besar.
Justeru beliau juga menegaskan bahawa perdana menteri memeterai perjanjian itu dalam keadaan "ghairah ingin ceriakan Trump" hingga menggadai negara pada 26 Oktober lalu.
"Pengkhianatan yang tiada siapa dalam jemaah menteri berani lawan demi kekal kuasa dan jawatan. Anwar dan Kabinet mesti letak jawatan," katanya mengakhiri kenyataan.