SEPANG: Perbicaraan mengenai tuduhan hantaran palsu berkait 11 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa menarik sokongan terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim bersambung lagi hari ini, dengan sesi pemeriksaan balas dari pihak pembelaan.
Peguam yang mewakili aktivis, Wan Muhammad Azri, mengajukan soalan kepada saksi pengadu yang juga merupakan pegawai di Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC).
Antara soalan yang diajukan adalah mengenai kemungkinan dakwaan Wan Azri pada Mei tahun lepas bukan merupakan berita palsu. Hal ini kemudiannya dipersetujui oleh saksi pengadu sendiri.
Ini kerana saksi pengadu tidak menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap 11 orang ahli parlimen PKR yang terlibat mengenai kesahihan maklumat tersebut malah hanya merujuk kepada sebuah hantaran di Facebook ahli parlimen Gopeng dari PKR, Tan Kar Hing yang menafikan dakwaan Azri.
Peguam Rafique Rashid selanjutnya bertanyakan "adakah saksi bersetuju bahawa sokongan politik boleh berubah-ubah pada sesuatu ketika?" Saksi kemudiannya tidak menafikannya
Rafique: "Setuju anda tidak periksa satu persatu dengan setiap 11 Ahli Parlimen tentang berita tarik sokongan ini?
Saksi: "Setuju."
Rafique: "Setuju penarikan sokongan ahli-ahli parlimen ini "fluid". Hari ini tarik esok boleh sokong balik? Boleh berubah?"
Saksi: "Setuju."
Rafique: "Setuju posting yang dilaporkan jam 7.32 malam, manakala laporan kamu jam 1.00 pagi lebih kurang 5/6 jam beza?"
Saksi: "Setuju."
Rafique: "Kalau begitu kamu setuju kamu sendiri tidak periksa setiap Ahli Parlimen 11 orang, kamu setuju ada masa 6 jam baru lapor, juga setuju sokongan atau tarik sokongan boleh berlaku, maka ada kemungkinan 11 orang itu telah tarik sokongan?"
Saksi: "Setuju."
Rafique: "Kalau begitu, apa yang ditulis Azri tidak palsu? Betul?"
Saksi: "Ya."
Perbicaraan bersambung esok, 30 April 2026.