KUALA LUMPUR: "Koyak dengan komen rakyat, tapi tak berani nak saman sebaliknya gunakan MCMC, guna wang rakyat". Demikian kenyataan aktivis politik, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali sebagai Sir Azri hari ini.
Kenyataan itu susulan notis yang dikeluarkan pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), melalui Tetuan Selva Mookiah Associates yang memohon beliau menarik balik hantaran terdahulu di laman Facebook berserta permohonan maaf atau berdepan tindakan undang-undang.
Sebelum ini, portal berita Malaysia Gazette melaporkan di Facebook berbunyi "Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menarik balik tuntutan saman fitnah terhadap Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian secara damai di Mahkamah Tinggi, hari ini".
Namun tidak berapa lama kemudian, hantaran tersebut dipadamkan. Aktivis tersebut seterusnya membuat kenyataan mengkritik penarikan hantaran tersebut.
Sambil mempersoalkan tindakan MCMC yang menyekat hantaran Malaysia Gazzete itu, beliau berkata tiada permohonan maaf dari beliau kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan ada pihak yang mengarahkan agar media memainkan naratif kononnya Wan Azri menfitnah Fahmi.
Sementara itu, dalam notis yang dikeluarkan MCMC, pihaknya mendakwa tiada sebarang campur tangan, arahan atau permintaan bagi menyekat hantaran Malaysia Gazzete tersebut.
Wan Muhammad Azri bagaimanapun bertegas untuk tidak menarik balik kenyataan sambil menyatakan kesediaan beliau untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang dari MCMC di mahkamah.