KUALA LUMPUR: Aktivis Wan Muhammad Azri Wan Deris mendakwa menjadi sasaran satu tindakan sabotaj serius selepas sebuah peranti "jammer" (penyekat isyarat) berkualiti tinggi diletakkan di hadapan kediamannya di Setapak, malam kelmarin.
Dalam satu kenyataan kepada Malay Digest semalam, beliau mendakwa insiden itu berlaku ketika beliau sedang mengendalikan sesi siaran langsung di platform TikTok dan Facebook kira-kira jam 11.55 malam.
Menurut Azri, beliau dimaklumkan oleh isterinya melalui rakaman CCTV mengenai kehadiran seorang lelaki misteri berpakaian serba hitam dan berhud yang meletakkan satu bungkusan hitam di seberang jalan hadapan rumah mereka sebelum beredar.
"Pada waktu itu juga sambungan Wi-Fi di rumah saya telah terputus. Isteri saya mendapati alat Wi-Fi telah mengeluarkan lampu merah (offline)," katanya dalam laporan tersebut.
Azri berkata, pihak polis yang tiba di lokasi kemudiannya menemui satu alat berwarna hitam yang mempunyai lampu merah berkelip serta mengeluarkan bunyi di dalam bungkusan tersebut.
Hasil maklum balas daripada rakannya, peranti itu dipercayai merupakan sebuah alat "jammer" berkualiti tinggi yang dikategorikan sebagai senjata menyalahi undang-undang tanpa kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Keadaan menjadi lebih cemas apabila Unit Skuad Pemusnah Bom PDRM yang tiba pada jam 2.20 pagi mengambil tindakan untuk meletupkan peranti tersebut di lokasi kejadian.
"Tindakan ini membuatkan saya, isteri, dan anak-anak merasa cemas dan ketakutan kerana ia melibatkan ancaman yang lebih serius," jelasnya lagi.
Dalam kenyataan yang sama, Azri yang menyifatkan dirinya sebagai pengkritik kerajaan, mendakwa insiden itu mungkin mempunyai kaitan dengan seorang individu bernama Salim Abdul Rahman.
Beliau mendakwa sebelum ini telah membuat beberapa laporan polis terhadap individu berkenaan atas dakwaan ugutan jenayah ke atas keluarganya, namun mendakwa tiada tindakan diambil setakat ini.
Azri kini menuntut pihak polis melakukan siasatan penuh dan terperinci termasuk melibatkan pasukan forensik bagi pengesanan cap jari untuk mengesan pelaku yang terlibat.
Beliau meluahkan kebimbangan sekiranya kejadian itu merupakan permulaan kepada sabotaj yang lebih berbahaya seperti cubaan meletakkan bom, dadah, atau senjata api di kediamannya pada masa hadapan.