HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Diesel Ke Filipina: Isham Jalil Sedia Saman 4 Individu

Isham Jalil

Isham Jalil mendakwa tindakan MCMC sebagai tidak wajar dan berat sebelah

KUALA LUMPUR: Mantan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga seorang aktivis rakyat, Isham Jalil akan membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak berkaitan atas dakwaan menyalahgunakan kuasa dan pembaziran dana awam.

Laporan itu dibuat susulan tindakan pihak SKMM yang memulakan siasatan serta merampas harta peribadi, termasuk telefon bimbitnya, atas alasan yang didakwanya tidak berasas baru-baru ini.

Difahamkan, siasatan tersebut berpunca daripada satu hantaran Facebook beliau bertarikh 11 April 2026, di mana beliau memetik laporan berita dari Filipina mendakwa Jabatan Tenaga negara itu mengesahkan penerimaan 329,000 tong (52 juta liter) diesel dari Malaysia, dan meminta netizen untuk menyemak kesahihan berita tersebut.

Bagaimanapun hantaran tersebut telah disekat atas arahan SKMM ke pihak Facebook pada 12 April 2026.

Isham turut menggesa agar pihak polis dan SKMM menyiasat laman portal 'Anwar Ibrahim Fans' yang didapati memuat naik hantaran mengenai perkara sama, seawal 8 April 2026 yang lalu namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap akaun berkenaan setakat ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Isham menyatakan tindakan saman sivil juga akan menyusul di mana beliau bakal mengeluarkan surat tuntutan (Letter of Demand) berjumlah RM10 juta setiap satu kepada empat individu dari penyokong kerajaan yang didakwa menabur fitnah berniat jahat ke atas beliau.

Menurutnya lagi setakat ini, peguam yang mewakili beliau telah berjaya mengenal pasti alamat bagi tiga daripada empat individu terbabit untuk penghantaran notis saman berkenaan.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Isham berkata hasil tuntutan saman keseluruhan yang bernilai RM40 juta itu akan disalurkan sepenuhnya untuk membantu jentera kempen PAS dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, jumlah RM40 juta itu dianggarkan mencukupi untuk membantu pembiayaan 40 kawasan pilihan raya bagi pihak PAS.