HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Isham Jalil & Wan Azri Ancaman Besar Kepada Kerajaan Madani

Isham Jalil & Wan Azri

Dua aktivis rakyat yang kini menjadi sasaran penyokong Pakatan Harapan (PH), Wan Azri (kiri) & Isham Jalil (kanan)

KUALA LUMPUR: Mantan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil, semalam berkata bahawa beliau dan Wan Muhammad Azri (Sir Azri) kini menjadi sasaran utama "pejabat tertinggi" untuk dijatuhkan reputasi mereka. Perkara itu didedahkan melalui sesi siaran langsung di Facebook beliau semalam.

Isham mendakwa beliau menerima maklumat daripada sumber tertentu mengenai arahan khusus untuk memburuk-burukkan kedua-dua aktivis tersebut melalui pelbagai platform. Menurut beliau lagi, arahan tersebut bertujuan bagi memastikan mereka tidak lagi dilihat sebagai ancaman besar kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Ada arahan daripada pejabat tertinggi untuk meletakkan target memburuk-burukkan dua orang, saya dengan Azri," kata beliau dalam sesi tersebut sambil mempersoalkan sama ada mereka kini dianggap sebagai "musuh nombor satu" kerajaan. Beliau mendakwa pelbagai kandungan seperti video fitnah dan penulisan kreatif sedang dihasilkan oleh pihak tertentu bagi menjayakan agenda tersebut.

Selain menyentuh isu penyasaran peribadi, Isham turut mengkritik tindakan pentadbiran hari ini yang didakwanya semakin menghimpit kebebasan bersuara dan bersifat "kuku besi", sambil merujuk kepada tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang didakwa merampas telefon bimbit dan memanggil ramai individu untuk siasatan.

Isham turut mengingatkan para penjawat awam dan pihak berkuasa agar tidak menyalahgunakan kuasa kerana mereka perlu bertanggungjawab atas perbuatan tersebut sekiranya berlaku pertukaran kerajaan pada masa hadapan.

Dalam sesi sama, Isham dilihat turut menyentuh mengenai kestabilan dalaman kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mendakwa Anwar kini telah hilang kawalan terhadap ahli-ahli politik dalam blok kerajaannya sendiri, termasuk daripada PKR dan DAP.

Dakwaan ini dibuat susulan kehadiran beberapa Ahli Parlimen daripada parti komponen kerajaan dalam perhimpunan membantah isu berkaitan Ketua Pesuruhjaya SPRM baru-baru ini.

"Bila ahli parlimen kerajaan sendiri turun protes, maksudnya kerajaan hari ini tidak lagi mengawal ahli politik kamu," tegas beliau.