HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Inkues Arwah Zara Qairina: Kumpulan ‘High Council’ Wujud di Asrama

Seorang pengawal keselamatan di sebuah asrama mendedahkan tentang kewujudan kumpulan ‘High Council’.

Foto: Kosmo Online

Seorang saksi inkues kematian arwah Zara Qairina, Linah Mansoding @ Jaliha mendedahkan, wujud kumpulan ‘High Council’ yang mengamalkan budaya gangsterisme dan buli di Asrama Qurratu ‘Ayun di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.

Saksi keenam, yang juga seorang pengawal keselamatan di sekolah berkenaan membuat kenyataan tersebut ketika ditanya oleh peguam, Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada arwah Zara Qairina.

Shahlan: Sejak puan bekerja di asrama dari 2012 hingga sekarang, pernah tak dengar istilah ‘MA’?

Linah: Pernah.

Shahlan: MA tu apa?

Linah: Perjumpaan haram, pandai-pandai saja senior ini. Dulu sudah diharamkan, sudah dilarang itu tuan.

Shahlan: MA ini sejak bila?

Linah: Selama asrama di atas, awal bulan 3, 2017. Saya pun tak tahu mula-mula, bila tanya budak-budak asrama, baru faham.

Shahlan: Apa budak-budak cakap (pasal MA)?

Linah: Saya tanya MA apa? Budak-budak itu kata, macam perjumpaan, (mana-mana) budak yang tidak hormat senior dipanggil senior, ditegur supaya hormat senior. Macam kalau ‘limpas’ (berselisih) senior tetapi tak senyum akan dipanggil, ditegur. Macam nasihat kat adik-adik

Shahlan: Nama panjang MA ini ‘Mesyuarat Agung’?

Linah: Tak tahu. Saya tahu MA saja.

Shahlan: Kenapa MA ni diharamkan, dilarang?

Linah: ‘Dorang’ (mereka) senior ini dilarang sebab bertindak sesuka hati, mereka tidak dibenarkan buat sesuka hati. kalau ada kesalahan, (kena) beritahu cikgu (dan) cikgu yang akan siasat. Sama juga kalau tingkatan lima atau tingkatan empat (buat kesalahan) cikgu akan nasihat, Cikgu pun tak tahu senior buat begini (MA).

Shahlan: Kalau cikgu tak tahu pasal MA, macam mana boleh diharamkan?

Linah: Ada pelajar tingkatan lima yang bagi nasihat jangan buat begitu. Saya ada dengar tingkatan lima kata, sudah diharamkan sudah MA ini. Itu yang saya dengar.

Shahlan: Selepas MA, apa jadi pada pelajar yang dipanggil?

Linah: Dorang bercakap sesama sendiri. Bila mereka limpas di tempat pengawal, saya tanya dari mana, mereka bilang ada MA aunty. Tak tahu dia orang (senior) cakap apa, kena tegur pasal pakaian juga.

Shahlan: Sebelum kes Zara Qairina ini, ada tak dengar pasal MA?

Linah: Tiada.

Shahlan: Ada tak kemungkinan, Zara Qairina kena MA sebab dituduh mencuri?

Linah: Mungkin.

Linah yang sebelum menemui arwah Zara dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri pada pertengahan Julai lalu, turut memberitahu dia telah diminta untuk memadamkan gambar remaja terbabit oleh ketua warden (Ustaz Azhari) kerana takut gambar tersebut ditularkan.

Gambar tersebut merupakan satu-satunya gambar yang diambil selepas remaja tersebut ditemukan dan telah diterima masuk sebagai bahan bukti dalam inkues berkenaan yang masuk hari ketujuh, semalam.

Prosiding bersambung Rabu depan.