KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid hari ini membidas kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, dengan dakwaan bersikap hipokrit dan menggunakan taktik "drakonian" terhadap peserta Himpunan Turun Anwar (HTA).
Beliau menegaskan, dakwaan kerajaan Madani yang adil dan telus adalah bercanggah dengan tindakan susulan yang diambil pasca himpunan yang berlangsung pada 26 Julai lalu. Rafique mengakui bahawa dari satu sudut, HTA nampak berjalan lancar dan bebas. Kerajaan Madani dan para penyokong PMX gah merembeskan naratif bahawa perhimpunan itu dibenarkan, tidak dihalang oleh PDRM, dan peserta diberikan segala kemudahan, malah PMX sendiri mengucapkan selamat pulang kepada demonstran. Tiada trak FRU atau semburan air gatal dilihat, satu naratif yang dipuji oleh pentaksub Anwar Ibrahim.
Hipokrasi Madani: Halangan Terselindung dan Hukum Drakonian
Namun, Rafique mendakwa wujudnya hipokrasi halus di sebalik naratif tersebut. Beliau menyenaraikan beberapa perkara yang didakwanya berlaku:
- Halangan dan Gangguan: Bermula dengan halangan pentas utama dan gangguan rangkaian internet di Dataran Merdeka, yang dikatakan telah menghalang ramai peserta daripada menyiarkan program secara langsung.

Anggota penguatkuasa menyita struktur binaan pentas. Foto Guangming.com
- Memperlekeh Suara Rakyat: Suara rakyat didakwa diperlekeh, sehingga kutipan sampah menjadi tajuk utama oleh seorang menteri kerajaan.
- Penggunaan Undang-undang Drakonian: Perkara paling tidak boleh diterima, menurut Rafique, adalah penggunaan undang-undang drakonian terhadap peserta HTA. Setakat ini, empat tangkapan telah dibuat, dan lebih ramai lagi dijangka akan "dikutip" penguat kuasa.
Rafique secara khusus menuding jari kepada penggunaan Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke atas kesemua individu yang ditahan atau disiasat.
"Bukankah janji mereka dulu undang-undang drakonian ini akan dimansuh?" soal Rafique.
"Sekarang sudahlah tidak mansuh, gunakan pula ke atas pengkritik PMX dan/atau Kerajaan."
Soal Hak Mengkritik dan Kedaulatan Undang-undang
Rafique mempersoalkan adakah PMX atau kerajaan tidak boleh dikritik sama sekali?
"Adakah sebaik sahaja PMX jadi Perdana Menteri maka segala hak kritik dalam sebuah demokrasi terhapus?" tanyanya.
Beliau membandingkan situasi ini dengan kritikan terhadap Perdana Menteri sebelum-sebelumnya, seperti poster Tun Dr Mahathir yang dipijak, buku Tunku yang dibakar, atau kangkung yang disuap ke mulut Najib Razak—tindakan yang seolah-olah dibenarkan pada masa itu, tetapi kini kritikan terhadap PMX pula dianggap "haram."
Taktik Intimidasi Politik
Meskipun tiada halangan untuk PDRM menyiasat, Rafique mempersoalkan tindakan penguat kuasa yang menghantar berbelas anggota dan pegawai untuk mengepung rumah peserta semata-mata untuk menangkap mereka.
"Demonstran yang hadir rakyat Malaysia. Mereka bukan pengganas atau penjenayah tegar," tegasnya.
Beliau mencadangkan agar pihak berkuasa membuat temujanji, merekod percakapan, dan menghantar kertas siasatan kepada Peguam Negara, supaya pertuduhan dapat berjalan jika ada elemen kesalahan.
Ini, katanya, adalah cerminan kedaulatan undang-undang dan rule of law sebenar, dan bukannya pembaziran masa serta kos awam melalui tangkapan reman yang tidak perlu.
Rafique mendakwa bahawa tujuan tangkapan-tangkapan ini tidak lain tidak bukan adalah intimidasi politik, untuk menakutkan rakyat supaya tiada "Turun Anwar 2.0".

Che'Gu Bard antara aktivis politik yang ditahan pihak polis atas akta hasutan 1948. Foto Guangming.com
Rafique mengingatkan rakyat bahawa "suara rakyat suara keramat," dan tekanan yang diberikan adalah bukti kerajaan takut dengan rakyat.
"Pada PMX dan Madani, hipokrasi makin jelas. Kayu bengkok, masakan lurus bayangnya!" katanya.