SHAH ALAM – Perbicaraan kes saman sivil yang difailkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad (plaintif) terhadap Anwar Ibrahim (defendan) memasuki hari ketiga hari ini, dengan sesi pemeriksaan balas oleh pasukan peguam bela terhadap plaintif berlanjutan ke hari kedua.
Sesi perbicaraan bermula lewat 30 minit berikutan penyerahan ikatan dokumen tambahan oleh pihak defendan sebagai bukti baharu, walaupun perbicaraan telah berjalan selama tiga hari. Hakim Donald Joseph Franklin menegur tindakan defendan dan menetapkan bahawa ikatan tambahan tersebut adalah yang terakhir.
Pada sesi pagi sehingga tengah hari, pasukan peguam bela terus mengemukakan soalan-soalan yang dianggap tidak relevan, menyentuh isu-isu perkauman, perlembagaan, dan 3R (Race, Religion, Royalty). Hakim tegas menegur pihak defendan, menggesa mereka untuk memberi tumpuan kepada fakta kes berkaitan tuduhan defendan terhadap plaintif.
Apabila ditanya sama ada plaintif masih mengingati kenyataan beliau bahawa orang Melayu akan "hilang segala-galanya" di bawah pentadbiran Anwar, Tun Dr. Mahathir menegaskan bahawa kenyataan Anwar Ibrahim mengenai Malaysia sebagai negara berbilang kaum adalah berbahaya dan bercanggah dengan Perlembagaan, serta dilihat sebagai isyarat hasrat Anwar untuk mengubah Perlembagaan. Walaupun tidak pernah secara spesifik menyatakan akan menukar Perlembagaan, plaintif berpandangan bahawa ucapan seorang Perdana Menteri dipandang serius oleh rakyat dan menunjukkan kemungkinan perubahan pada masa hadapan. Peguam Tun Dr. Mahathir membantah soalan tersebut yang dianggap terlalu bersifat politik dan tidak relevan dengan kes.
Peguam Tun Dr. Mahathir turut membantah soalan berkaitan "kehilangan kuasa Melayu" kerana plaintif telah menjawab 277 soalan yang tidak berkaitan dengan tuduhan defendan pada hari pertama. Hakim kemudiannya mengarahkan peguam defendan untuk fokus kepada soalan berkaitan. Peguam defendan mempertahankan soalan tersebut dengan alasan mereka sedang mempertahankan anak guam. Hakim sekali lagi campur tangan, menegaskan bahawa peguam defendan perlu fokus kepada saman plaintif bagi memastikan kes tidak berlarutan.
Seorang lagi peguambela dilihat cuba mempersoalkan reputasi dan kredibiliti Tun Dr. Mahathir sepanjang 22 tahun 22 bulan pentadbirannya. Hakim mempersoalkan sejauh mana soalan tidak relevan sebegini harus berterusan, sambil menegaskan bahawa ia mesti relevan dengan saman plaintif.
Namun, peguam bela terus berhujah bahawa masih terdapat beratus muka surat lagi untuk dibahaskan, dan isu kredibiliti memberi kesan ke atas jumlah yang akan diputuskan mahkamah kelak. Tindakan peguam Anwar Ibrahim ini seakan-akan mengakui bahawa Anwar Ibrahim menfitnah Tun Dr. Mahathir, namun cuba mempengaruhi mahkamah dengan mempersoalkan kredibiliti plaintif, sekaligus boleh mengurangkan jumlah saman RM150 juta itu.
Peguam: "Sebenarnya dokumen yang ada pada Tun tidak ada sebarang bukti yang tunjukkan orang Melayu di bawah Anwar kurang kuasa atau hilang kuasa."
Tun Dr. Mahathir: "Saya tak complain pada orang Melayu, saya complain kerana tuduhan defendan dan reputasi saya sebagai seorang pemimpin negara. Soalan ini tak ada kena mengena dengan kes saya. Saya difitnah. Itu saya ambil penting."
Peguam: "Saya setuju, tapi kes ini lebih lagi. Dan tomahan Tun pada anak guam saya sebagai perkauman."
Tun Dr. Mahathir: "Itu saya tak peduli, bukan berkaitan fitnah. ‘Kamu bolot untuk kamu dan anak-anak kamu,’ ini satu fitnah."
Peguam: "Tun bukan sahaja saman itu, tapi Tun juga saman kerana ajak orang Melayu benci pada kaum lain."
Tun Dr. Mahathir: "Dia sebut saya kaya berbilion-bilion. Sehingga sekarang belum tunjuk bukti. Dia kata dua minggu. Sekarang dah dua tahun masih tak tunjuk bukti."
Fokus soalan yang diajukan oleh pihak pembelaan pada sesi pagi secara keseluruhannya tidak berkaitan dengan tuduhan Anwar terhadap Tun Dr. Mahathir, dengan pihak defendan seolah-olah sengaja ingin melengahkan perbicaraan.
Perbicaraan yang disambung pada jam 2.39 petang menyaksikan peguam bela terus menyoal balas dengan cuba membina naratif bahawa Tun Dr. Mahathir bukan seorang negarawan melalui kisah pemecatan Tun Salleh Abas. Pihak defendan cuba membuktikan pemecatan itu adalah percaturan politik yang melibatkan plaintif.
Hakim mempersoalkan relevansi soalan tersebut, sambil secara sinis berkata ia boleh memakan masa lima hari lagi. Namun, peguam Anwar menegaskan ia adalah untuk membuktikan reputasi plaintif bukan seperti yang didakwa. Pasukan peguam plaintif bagaimanapun menegaskan perbicaraan itu telah mula menyimpang daripada kes saman fitnah dan lebih menyerupai siasatan kes lain.
Peguam bela defendan (Anwar Ibrahim) kemudiannya memohon penangguhan pada jam 3.28 petang sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.