SEPANG: Seorang suri rumah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi palsu berkaitan harga minyak diesel di media sosial pada Mac lalu.
Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 31 Mac mengikut Seksyen 233 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Peguam bela, Rafique Rashid, yang juga Ketua Penerangan parti Pejuang Tanah Air, memaklumkan bahawa anak guamnya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Menurut Rafique, Siti Nor Sayikilla merupakan seorang suri rumah dari Tanjung Karang yang hidup dalam kesempitan. Suaminya hanya bekerja kampung bagi menyara keluarga, termasuk dua orang anak.
"Anak yang sulung masih kecil, manakala seorang lagi merupakan anak OKU terlantar yang tidak dapat melihat dan bercakap. Hanya tangan dan kaki sahaja yang boleh bergerak sedikit," kata Rafique dalam satu sidang media di perkarangan mahkamah hari ini.
Tambah beliau, wanita berkenaan turut memikul tanggungjawab menjaga seorang adik ipar yang mempunyai masalah kesihatan mental yang tinggal bersama mereka.
Menceritakan tentang hantaran yang dibuat, Rafique menjelaskan bahawa wanita tersebut sekadar berkongsi maklumat tersebut tanpa mempunyai sebarang niat buruk.
"Dia kata dia share biasa sahaja, dia pun tak ada sebarang niat untuk melakukan apa-apa perkara. Dia (hantaran tersebut) berkaitan dengan harga diesel," jelasnya lagi.
Terdahulu dalam prosiding, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memohon jaminan sebanyak RM10,000. Bagaimanapun, selepas mendengar hujah pihak pembelaan mengenai latar belakang ekonomi keluarga tersebut, mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM4,000.
Rafique mendedahkan bahawa jumlah jaminan tersebut berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai, terutama dari Team Walabot selepas kes wanita itu tular melalui perkongsian aktivis Wan Muhammad Azri semalam.
Dalam pada itu, Rafique turut melahirkan rasa kesal dan menggesa pihak berkuasa, khususnya MCMC, untuk menggunakan budi bicara dalam kes-kes terpencil yang melibatkan golongan miskin.
Beliau turut menyeru pusat zakat serta Ahli Parlimen Tanjung Karang untuk segera turun padang bagi membantu keluarga Siti Nor Sayikilla.
Rafique menyifatkan kes ini sebagai satu bentuk perjuangan rakyat menentang apa yang dipanggilnya sebagai tindakan yang boleh dilihat sebagai "zalim" oleh pihak kerajaan sekiranya tidak ditangani dengan timbang rasa.