KUALA LUMPUR, 11 Julai 2025 – Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman (Sekretariat) hari ini menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk meletakkan jawatan serta-merta. Gesaan itu dibuat berikutan konflik kepentingan yang tidak dapat dipertahankan dalam pelantikan hakim-hakim, manakala Perdana Menteri sendiri mempunyai kes peribadi yang masih berjalan di mahkamah.
Resolusi itu diumumkan dalam satu kenyataan media selepas Sidang Meja Bulat ke-2 kumpulan itu yang diadakan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, isu pokok adalah kedudukan Perdana Menteri yang didakwa berada dalam konflik kepentingan kerana kes peribadinya yang kini di peringkat Mahkamah Rayuan dan berpotensi untuk dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
Sekretariat tersebut menekankan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri mempunyai peranan eksklusif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam pelantikan hakim. Kes peribadi Perdana Menteri berkemungkinan akan didengar oleh hakim-hakim yang dilantik atas nasihat beliau sendiri.
Kumpulan itu juga menolak cadangan seperti penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau penggunaan Jawatankuasa Khas Parlimen sebagai tidak mencukupi, dengan alasan mekanisme tersebut masih berada di bawah kawalan Perdana Menteri.
Dalam kenyataan yang sama, Sekretariat turut menyifatkan sebarang permohonan kekebalan oleh Perdana Menteri sebagai tidak berperlembagaan dan melebihi keistimewaan yang dimiliki oleh Raja-Raja Melayu.
Dua Resolusi Utama Dikeluarkan
Sidang Meja Bulat Ke-2 tersebut mengeluarkan dua resolusi utama:
- Pelepasan Jawatan Perdana Menteri: Sekretariat menarik balik resolusi sebelumnya yang meminta Perdana Menteri bercuti. Resolusi terkini menuntut agar Perdana Menteri meletakkan jawatan serta-merta disebabkan konflik kepentingan dalam pelantikan hakim yang disifatkan sebagai "tidak dapat dipertahankan".
- Rayuan kepada YDPA dan Majlis Raja-Raja: Sekretariat merafak sembah memohon ihsan D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan budi bicara baginda di bawah Perkara 40(2)(c) Perlembagaan Persekutuan. Permohonan itu adalah supaya satu mesyuarat Majlis Raja-Raja dipanggil dan dipengerusikan khas oleh YDPA bagi membincangkan isu berkaitan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu serta tindakan susulan yang wajar.
Sekretariat turut mengambil maklum kenyataan daripada pelbagai pihak termasuk ahli parlimen PKR, Jabatan Peguam Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi), Majlis Peguam Malaysia, serta kenyataan Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang mengingatkan semua pihak untuk menghormati proses dan integriti pelantikan hakim.