HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Filipina Lapor Penerimaan Diesel Malaysia, Petronas dan MTEN Buat Penafian

Keratan Laporan Manila Times

Keratan akhbar Manila Times muka hadapan bertarikh 12 April 2026

Kira-kira 329,000 tong, atau 52.311 juta liter, diesel dari Malaysia telah dihantar ke Filipina, sekali gus menambah bekalan bahan api negara itu ketika pasaran minyak global berdepan turun naik susulan perang di Timur Tengah.

Ketibaan terbaharu diesel yang diperoleh kerajaan ini menyusuli penghantaran pertama sebanyak 142,000 tong, atau 22.578 juta liter, dari Jepun pada 26 Mac, selaras dengan arahan Presiden Ferdinand Marcos Jr supaya memastikan bekalan minyak yang stabil dan mencukupi dalam keadaan ketidaktentuan pasaran luar yang semakin meningkat.

Berita penghantaran ini hadir ketika sumber industri minyak memaklumkan bahawa harga diesel dan petrol dijangka menurun minggu hadapan hasil gencatan senjata di Timur Tengah. Mereka berkata, diesel—yang telah mencecah paras tertinggi dalam sejarah selepas perang bermula pada 28 Februari—dijangka turun antara P8.80 hingga P10.80 seliter, manakala petrol dijangka susut P1.50 seliter.

Anggaran ini dibuat berdasarkan dagangan lima hari “Mean of Platts, Singapore”, iaitu asas penetapan harga produk bertapis di Asia Tenggara

Dalam satu kenyataan, Jabatan Tenaga (DOE) berkata penghantaran diesel terbaharu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh bekalan negara di bawah Program Keselamatan Tenaga Kecemasan (Emergency Energy Security Program).

Menurut DOE, dengan ketibaan penghantaran dari Malaysia ini, kerajaan terus mempertingkat penampan bekalan domestik memandangkan pasaran minyak global masih terdedah kepada risiko geopolitik yang berkaitan perkembangan berterusan di Timur Tengah.

Setiausaha Tenaga, Sharon Garin, berkata ketibaan penghantaran kedua itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam mendahului “kemungkinan tekanan bekalan” serta memastikan ketersediaan bahan api dalam negara terpelihara.

“Penghantaran terbaharu dari Malaysia ini mengukuhkan lagi kedudukan bekalan kami pada ketika risiko luaran masih wujud dan keadaan di Timur Tengah terus berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.

Penghantaran ini merupakan sebahagian daripada sasaran keseluruhan DOE sebanyak 318 juta liter diesel, yang dijangka tiba dalam beberapa minggu akan datang.

Bagaimanapun Petronas menafikan penglibatan syarikat itu dalam laporan tersebut dengan menegaskan pihaknya tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berkaitan pembekalan diesel.

Sementara itu, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan bekalan diesel yang dihantar ke Filipina seperti dalam laporan tersebut bukan berasal dari Negara Malaysia.