YB Saifuddin Nasution, semalam beri kelas undang-undang. Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan naturalisasi. Syaratnya, umur atas 21 tahun, bermastautin dan kemahiran bahasa Melayu yang memadai.
Kemudian Jadual Dua, Bahagian III. Perkara 20. Menteri ada budibicara mengenai tempoh mastautin. Budibicara mengambil kira tempoh kurang dari 6 bulan dalam negara atau kerana berada di luar negara kerana pendidikan atau kerana kesihatan atau kerana perkhidmatan atau atas apa-apa sebab lain seperti ditetapkan oleh Menteri.
Jelas ini kuasa budibicara yang luas.
Begitu juga kuasa Pendaftar atau Pendaftar Besar yang dilantik bagi urusan kelahiran dan kematian dibawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Rakyat tidak pertikai kuasa atau budibicara itu. Yang rakyat persoal adalah apa yang terlalu "special" sehingga proses bagi 7 pemain naturalisasi ini dibuat sehingga mengundang aib seluruh dunia.
Kalau FIFA boleh cari dan jumpa sijil lahir asal datuk dan nenek pemain-pemain ini, apa yang JPN buat sehingga sahkan mereka sendiri luluskan dokumen tanpa rekod asal?
Bagaimana pegawai-pegawai di JPN begitu berani hingga sahkan dokumen tanpa lihat yang asal atau original? Bagaimana pegawai-pegawai agensi serta kemudiannya FAM begitu berani sehingga proses dokumentasi tanpa lihat yang asal? Bagaimana pegawai-pegawai kementerian atau agensi bawah kementerian dapat uji tahap kefasihan bahasa melayu pemain-pemain ini dan luluskan? Bagaimana pegawai-pegawai ini berani kerana bagi orang biasa selalunya pegawai-pegawai yang sama akan ambil bertahun-tahun untuk proses apa-apa permohonan kewarganegaraan?
Tapi YB Menteri kata budibicara dan kuasa. Kalau itu lojiknya, maka mudah sahaja nampaknya kalau warga asing hendak jadi warganegara?
Setiap budibicara itu mesti berpaksi pada undang-undang tidak kira siapa, samada dilahir biasa atau cara kayangan, samada kaki bangku atau kaki bola.
Soalan cepumas yang masih belum terjawap—siapa arahkan pemalsuan? FIFA guna peluru hidup, bukan peluru kapur.