KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan aliran masuk bersih Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak RM1.6 bilion pada suku kedua (S2) 2025, menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.
Angka tersebut menunjukkan penurunan mendadak berbanding RM9.1 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama (S2) pada tahun 2024 dan susut sebanyak RM14 bilion berbanding suku pertama (S1) 2025.
Penurunan ketara ini sebahagian besarnya didorong oleh pengaliran keluar yang lebih besar dalam komponen pendapatan pelaburan semula, yang merekodkan angka negatif RM12.0 bilion pada S2 2025. Jumlah pengaliran keluar ini jauh lebih tinggi berbanding -RM3.7 bilion pada S2 2024.
Menurut analisis, ia berpunca daripada pembayaran dividen yang lebih tinggi oleh syarikat multinasional (MNC) asing dan kerugian yang dicatatkan oleh beberapa syarikat asing dalam sektor pembuatan.
Sementara itu, aliran masuk melalui instrumen hutang pula susut kepada RM5.0 bilion berbanding RM8.5 bilion yang pernah dicatatkan pada suku yang sama (S2) tahun sebelumnya (2024).
Antara negara penyumbang kepada FDI pada suku kedua 2025 adalah Singapura, Jepun dan United Kingdom.