HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Dulu Dibakar, Kini Diugut

Menteri KPKT, Nga Kor Ming.

Nga Kor Ming semasa sidang media pra-pelancaran projek ‘I Lite U’.

Sebagai akhbar yang berada di barisan hadapan dari sejak sebelum merdeka, Utusan Malaysia (dahulunya Utusan Melayu) pernah berhadapan dengan protes daripada 1500 orang wakil badan-badan kebudayaan, persatuan-persatuan bahasa, parti-parti politik Melayu, peguam-peguam, pelajar-pelajar maktab dan orang perseorangan dari seluruh tanah air.

Protes tersebut berlaku pada Mac 1967 kerana akhbar itu menyokong keputusan kerajaan untuk mengekalkan kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini di samping bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Pendirian akhbar itu menyokong dasar kerajaan begitu mengejutkan orang Melayu ketika itu kerana ia diketahui sebagai akhbar yang mendukung perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

Sikap ini telah menyebabkan akhbar berkenaan dianggap sebagai pengkhianat kepada bangsa Melayu. Kemuncak bantahan, telah dibakar bergulung-gulung akhbar Utusan Melayu oleh beberapa orang pemuda di luar bangunan Dewan Bahasa Pustaka (DBP).

Sedang api marak menjulang, tiba-tiba seorang pemuda yang kelihatan seperti kerasukan telah mengheret jurugambar Utusan Melayu, Hussein Nor untuk dilontar ke dalam api. Namun berjaya disekat oleh rakannya, Taib Ahmad.

Sambil membakar naskah Utusan Melayu, pemuda-pemuda yang marah telah menjerit-jerit “Utusan Melayu pengampu”, “lidah UMNO”, “biarkan bankrap” dan “Bakar Melan Abdullah” (Ketua Pengarang Utusan Melayu).

Demikianlah Utusan Melayu tenggelam dan timbul dalam arus kebangkitan bangsanya. Baik buruknya, salah atau benarnya, dihukum oleh rakyat berasaskan di mana mereka berdiri.

Itu cerita yang pernah ditulis oleh tokoh wartawan negara, Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin (TS Zam) pada 27 September 2009. TS Zam merupakan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu dan mantan Menteri Penerangan.

Baru-baru ini pula, tular suatu kejadian yang melibatkan Menteri KPKT, Nga Kor Ming dan wartawan Utusan Malaysia pada sesi sidang media pra-pelancaran projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’—inisiatif untuk mencantikkan bandar Kuala Lumpur menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Apabila kita berkata ‘I Lite U’, ia bukan sekadar tentang cahaya fizikal, tetapi sinar kasih, keramahan dan keterbukaan rakyat Malaysia dalam menyambut pelancong. Bila mereka pulang, biarlah mereka juga berkata, ‘I Like You’, kata Nga Kor Ming.

Namun situasi bertukar kontroversi apabila portal MalaysiaNow melaporkan Menteri itu seolah-olah mengugut wartawan Utusan Malaysia. Semuanya gara-gara soal penggunaan bahasa Melayu/Malaysia dalam projek tersebut.

Nga Kor Ming memberi respons dengan berkata, “anda harus belajar untuk keluar dari zon selesa. Ini sasaran kita dari pelancong seluruh dunia. Sekiranya kita tidak dapat menguasai bahasa Inggeris….kita harus pastikan semua pelancong datang. Kita ada nilai kebersamaan. Kita menghormati bahasa Kebangsaan, sudah tentunya. Jadi saya harap saudara, jangan jadikan ini suatu isu. Anda dari media mana? Utusan Malaysia. Saya akan ingat, saya akan hubungi Ketua Pengarang anda. Ini projek nasional dan kita nak pastikan pelancong dari 206 negara. Kalau saya boleh bercakap bahasa Portugis, saya akan cakap. Kita semua buta warna kulit, kita mahu pastikan pelancong akan rasa diterima dalam negara ini. Kalau saya tahu berbahasa Arab pun saya bercakap. Sebab ini Malaysia Truly Asia. Kita mahu merancakkan kebudayaan Melayu, Islam, Cina, India, Iban, Kadazan. Saya tidak mahu anda datang sini, memperbesarkan isu ini dan menjejaskan keseluruhannya, atau saya hubungi Ketua Pengarang anda.”

Begitu panjang lebar, sarat dengan peringatan dan amaran agar isu penggunaan bahasa Malaysia tidak diperbesarkan untuk tidak mengganggu kelancaran projek untuk menyambut kedatangan pelancong ini. Adakah benar dakwaan Kor Ming yang beliau benar-benar menghormati bahasa Kebangsaan?

Pertamanya, ini negara Malaysia yang berdaulat dan mempunyai peradaban sendiri. Salah satu unsur peradaban itu ialah bahasa kebangsaan. Malaysia bukan tanah jajahan mana-mana kuasa besar dunia. Adakah isu bahasa Malaysia boleh mendatangkan kemarahan pelancong dari 206 negara yang disebutkan? Jika ya, pelancong dari negara mana yang akan merasa tersinggung?

Kedua, Nga Kor Ming sebagai Menteri dalam negara berdaulat Malaysia seolah-olah memandang bahasa asing mengatasi kepentingan bahasa Kebangsaan. Adakah Kor Ming sedar tentang kewujudan Kursi Pengajian Melayu dan Pengajian Bahasa Melayu di beberapa universiti terkemuka dunia seperti Universiti Leiden, Universiti Ohio, Universiti Wellington, Universiti Beijing dan Universiti Hankuk?

Ketiga, Nga Kor Ming telah menyalah tafsir konsep kebersamaan dengan mengandaikan kebersamaan hanya wujud jika bahasa asing digunakan dengan meluas. Ini bukan sahaja meminggirkan bahasa Malaysia, bahkan membakul sampahkan usaha kerajaan untuk mengantarabangsakan bahasa Malaysia.

Kita seharusnya berbangga jika pelancong asing berminat untuk mempelajari bahasa Malaysia sambil dibantu bersama-sama oleh orang Melayu, Cina, India dan lain-lain. Ini definisi sebenar kebersamaan. Bahasa Malaysia merupakan simpul jati terbaik yang dapat mengikat setiap rakyat Malaysia yang berbeza dalam pelbagai aspek.

Keempat, Nga Kor Ming, dilihat seolah-olah merasakan mempunyai kuasa yang teramat besar hingga boleh menghubungi Ketua Pengarang akhbar Utusan Malaysia sekiranya isu penggunaan bahasa Malaysia ini diperbesarkan. Ini sekaligus mencerminkan sikap sombong dan angkuh seorang Menteri kabinet yang bukan sahaja tidak menghormati kebebasan media, tetapi gagal memahami tujuan soalan wartawan tersebut adalah untuk mengingatkan kepentingan identiti negara.

Negara besar seperti Jerman dan Jepun, bangga menuturkan bahasa mereka bagi menonjolkan identiti negara sendiri. Sekaligus mengantarabangsakan bahasa mereka. Walaupun diaspora Melayu telah membawa bahasa Melayu dituturkan oleh orang Melayu yang berhijrah di serata dunia, ia tidak mengantarabangsakan bahasa itu sendiri. Justeru pengantarabangsaan bahasa Melayu itu harus berlaku melalui penggunaan dan pertuturan oleh bukan penutur asal. Ini pandangan pakar.

Salah satu perkara penting dalam wasiat Raja-Raja Melayu yang dibuat semasa merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 ialah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan diangkat sebagai bahasa rasmi untuk mentadbir negara.

Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pernah bertitah “teras maruah bangsa Malaysia terletak pada bahasa Melayu. Mendaulatkan bahasa Melayu/Malaysia adalah bagi pembentukan jati diri sebagai benteng paling ampuh menangani arus deras dunia tanpa sempadan.
Saya teringat satu ungkapan dari Datuk Dr. Abdul Latiff bin Abu Bakar—”Bahasa Melayu bukan sahaja terpinggir, bahkan tidak dihormati seperti yang sepatutnya. Mereka berpura-pura dengan semangat patriotik tetapi tidak memiliki jiwa dan perasaan kepada bahasa Melayu sehingga tidak memandang langsung peranannya sebagai bahasa rasmi.”