HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Dr. Mahathir Jawab Tuduhan Anwar

Tun Dr. Mahathir Mohamad di mahkamah.

Gambar Fail: Tun Dr. Mahathir di Mahkamah Tinggi selasa lalu.

Dalam Penyata Saksi Plaintif yang difailkan di Mahkamah Tinggi selasa lalu, Negarawan Tun Dr. Mahathir menjawab setiap satu tuduhan yang dilemparkan oleh Anwar Ibrahim sepanjang 27 tahun yang lalu.

Menjawab tuduhan berkenaan dengan Konsortium Perkapalan Berhad (KPB), Dr. Mahathir menegaskan tidak pernah campur tangan dalam keputusan menganugerahkan ‘Bail-Out’ kepada syarikat berkaitan Mirzan pada tahun 1997. Sebaliknya, keputusan itu dibuat oleh Anwar sendiri melalui Kementerian Kewangan.

Menurut Dr. Mahathir, Anwar sendiri pada masa itu yang telah berulang kali mempertahankan keputusannya untuk melaksanakan Bail Out tersebut serta mengesahkan bahawa Tun Dr. Mahathir tiada kaitan mengenainya sepertimana kenyataan Anwar Ibrahim:

“walaupun ada percubaan untuk menyinggung kedudukan pemimpin negara, termasuk perdana menteri, tetapi ini suatu bukti bahawa keputusan kerajaan tetap telus dan tidak terpengaruh dengan kepentingan mana-mana syarikat keluarga yang memohon apa-apa kepentingan daripada kerajaan. Saya fikir ini menunjukkan kekuatan kerajaan dan kebijaksanaan Perdana Menteri yang tidak langsung campur, tetapi memutuskan berdasarkan kepentingan syarikat-syarikat kerajaan dan Kumpulan Wang Amanah Pencen Negara [Tepuk]”

Selain itu, Dr. Mahathir juga menjelaskan bahawa beliau tiada penglibatan dalam penganugerahan kontrak fiber optik bagi syarikat Opcom Cables Sdn Bhd (OPCOM) pada tahun 2003 kerana perbincangan dilakukan oleh syarikat itu dengan Telekom Malaysia secara terus.

Proses tender tersebut juga dilaksanakan pada tempoh Oktober dan November 2003 semasa Dr. Mahathir bukan lagi bertindak sebagai Perdana Menteri atau memegang apa-apa jawatan dalam kementerian. Justeru Anwar gagal kemuka bukti untuk menunjukkan campur tangan daripada Negarawan itu.

Berkenaan kontrak ‘rakan Unifi’ pada tahun 2018, Dr. Mahathir menjawab proses perolehan tender dilakukan tanpa apa-apa arahan atau kelulusan dari beliau kerana tidak mempunyai sebarang kuasa ke atasnya. Beliau menambah Gobind Singh Deo ketika itu sebagai Menteri Komunikasi mengesahkan dalam ucapannya:

“Justeru, dakwaan bahawa Opcom Holdings Berhad adalah kontraktor yang berjaya dalam bidaan untuk Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) melalui MCMC adalah palsu dan tidak berasas. Persoalan mengenai nilai kontrak yang mereka peroleh melalui MCMC tidak timbul sama sekali. MCMC akan memutuskan syarikat yang akan melaksanakan inisiatif USP selepas menilai semua cadangan. Proses ini adalah serupa dengan proses tender terbuka dan merupakan proses yang jelas dan telus,”

Mengenai pemberian Lesen Fabrikasi kepada Kencana Petroleum yang dikaitkan dengan Mokhzani, Dr. Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan keputusan dibuat sepenuhnya oleh Petronas.

“Jika Anwar katakan bahawa saya bersalah dalam hal ini, adakah individu-individu di dalam Petronas yang membuat keputusan juga bersalah? Kesemua ini harus dibuktikan oleh Anwar kerana ianya adalah dakwaan berat yang menjatuhkan imej saya,” jawab Tun Dr. Mahathir.

Negarawan berusia 100 tahun itu turut menyinggung isu berkenaan suntikan dana kepada Kumpulan Perwaja (Perwaja Steel) yang dibangkitkan oleh Anwar. Dr. Mahathir menggesa Anwar Ibrahim untuk membuktikan bahawa Eric Chia sebagai kroni, sambil menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan/atau menerima habuan dari Eric Chia hasil transaksi tersebut.

Bahkan Anwar sendiri mengakui sebagai Menteri Kewangan ketika itu mempunyai kuasa dalam menentukan samada Kumpulan Perwaja sepatutnya menerima suntikan dana ataupun tidak. Anwar mengaku telah mengusulkan dalam Parlimen bagi meluluskan suntikan dana sebanyak RM2 Billion kepada Kumpulan Perwaja.

Justeru, Dr. Mahathir menuntut Anwar Ibrahim untuk membuktikan wujud arahan langsung dari mantan Perdana Menteri ke-4 bagi memenuhi permintaan Kumpulan Perwaja itu diberi suntikan dana.

“Bagi setiap dakwaan kononnya saya membantu mengayakan anak-anak saya, yang jelas adalah setelah Anwar menjadi Perdana Menteri, anak-anak saya telah disiasat oleh SPRM dan didapati tiada apa-apa kesalahan dan/atau pertuduhan. Malahan SPRM berpuas hati dengan kerjasama dan pengisytiharaan anak-anak saya.”—Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam penyata saksi plaintif yang difailkan, 21 Oktober 2025