HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Dr Mahathir Muncul di Himpunan PN, Gesa Anwar Letak Jawatan

Dr Mahathir di Himpunan PN

Tun Dr Mahathir berucap di Himpunan Mandat Negarawan. Foto Shahir Noordin, UTUSAN

ALOR SETAR – Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kemunculan pertamanya di hadapan ribuan anak jati negeri Kedah pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Suka Menanti, malam tadi, selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad lalu.

Dr Mahathir, yang genap berusia 100 tahun pada 10 Julai lalu, dilihat bertenaga sepenuhnya sewaktu tiba sekitar jam 10.20 malam. Kehadiran beliau memeriahkan sesi pidato bersama kepimpinan utama Perikatan Nasional (PN), termasuk Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Kemunculan yang dinanti-nantikan itu merupakan sebahagian acara sebelum Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai ini dengan sasaran 300,000 hadirin dari seluruh negara.

Gesaan Letak Jawatan

Dalam ucapan utamanya, Dr Mahathir menyarankan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Beliau mendakwa corak pentadbiran Anwar tidak lagi disenangi rakyat, hanya pandai berjanji tanpa menunaikannya, dan membebankan rakyat dengan penambahan cukai.

"Bila rakyat tak suka, Perdana Menteri kena letak jawatan," tegas Dr Mahathir.

Beliau memberi contoh tindakan beliau sendiri yang meletakkan jawatan sebelum ini apabila ada pihak tidak bersetuju dengannya. Dr Mahathir turut membandingkan situasi ini dengan Perdana Menteri di United Kingdom, Bangladesh, dan Jepun yang melepaskan jawatan akibat desakan rakyat atau kesilapan, tanpa perlu menunggu pilihan raya.

"Ini sampai rakyat minta 'turun lah kamu' tak turun juga masih duduk di situ. Saya nak seru supaya Anwar letak jawatan, dengar lah bila orang tegur letak jawatan kerana dia tak tahu perintah negara, macam-macam masalah," katanya.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa desakan ini bukan untuk beliau kembali menjadi Perdana Menteri, sebaliknya sekadar memberikan nasihat berbekalkan pengalaman 24 tahun sebagai Perdana Menteri dan 80 tahun dalam arena politik. Beliau mahu rakyat, khususnya orang Melayu, sedar dengan kepimpinan sedia ada memandangkan ramai yang miskin walaupun negara mempunyai sumber kekayaan.

Himpunan Mandat Negarawan turut diisi dengan pelbagai pengisian lain sejak petang, termasuk Himpunan Mega Anak Muda, solat Maghrib, solat hajat, munajat berjemaah, bacaan Yasin, dan solat Isyak.