KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sebuah kenyataannya di Facebook hari ini menggesa Anwar Ibrahim untuk berundur dari jawatan Perdana Menteri, disebabkan beliau tidak dipilih secara langsung oleh rakyat dan kredibiliti pentadbirannya kian merosot.
Dr Mahathir menyatakan bahawa laungan "Turun Anwar" yang bergema di Alor Setar mencerminkan kehendak rakyat. Beliau menegaskan bahawa Anwar sebenarnya tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan hanya berjaya membentuk kerajaan dengan bergabung dengan parti-parti lain yang turut kalah, bagi mencapai majoriti yang diperlukan.
Isu utama yang dibangkitkan Dr Mahathir adalah kesahihan pengampunan Anwar. Beliau mengakui bahawa pengampunan itu diberikan semasa beliau menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua, dan pada masa itu beliau percaya ia adalah tindakan yang betul berdasarkan nasihat yang diterima.
Namun, Dr Mahathir kini mempersoalkan perkara tersebut:
"Tetapi sekarang ada yang timbul berkenan kesahihan pengampunan Anwar ini. Rakyat berhak untuk selesaikan kekeliruan ini."
Kekeliruan ini, menurutnya, menimbulkan persoalan sama ada Anwar layak untuk bertanding dalam PRU akan datang.
Selain isu, Dr Mahathir turut mendakwa bahawa Anwar tidak lagi layak memegang jawatan Perdana Menteri kerana "terlalu kerap membohong" dan "tidak ada yang betul keluar dari mulutnya".
Beliau merujuk kepada janji-janji Reformasi Anwar yang kini, menurut Dr Mahathir, telah menjadi "bahan jenaka" dan membuatkan rakyat merasa "dikencing" dengan penipuan.
"Hari ini di depan mata kita dia amal nepotisme dan kronisme," tegas Dr Mahathir, sambil menarik perbandingan dengan tuduhan serupa yang pernah dilemparkan Anwar kepadanya tanpa bukti. Kini, kata Dr Mahathir, bukti nepotisme dan kronisme yang diamalkan Anwar "jelas di depan mata".