KUALA LUMPUR – Menjelang keputusan kes hasutan yang dihadapinya esok, Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Che'GuBard tampil menyatakan pendakwaan terhadapnya atas tuduhan menghina Raja Melayu adalah satu fitnah.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Che'GuBard menyatakan bahawa artikel yang ditulisnya bertujuan untuk membela institusi Raja dan mempersoalkan tindakan rejim yang gagal bertindak terhadap laporan media antarabangsa, Bloomberg.
"Sepanjang pendakwaan, pihak Jabatan Peguam Negara Malaysia hanya membuktikan akaun Facebook dan telefon yang dirampas adalah milik saya, tanpa menyentuh apa sebenarnya hasutan," katanya.
Beliau menambah bahawa tiada saksi yang ditampilkan mampu membuktikan beliau melakukan hasutan, malah saksi pertama yang juga pengadu kes telah menarik balik laporan polis.
Che'GuBard sebelum ini ditahan polis di tepi lebuh raya, direman selama dua hari, sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Pada mulanya, Peguam Negara mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) untuk menghalang Che'GuBard, peguamnya, dan pihak lain daripada mengulas kes tersebut. Walau bagaimanapun, perintah ini telah berjaya diketepikan di Mahkamah Rayuan kemudiannya.
Dalam kenyataannya, Che'GuBard turut mendedahkan bahawa semasa prosiding, pihak pendakwaan telah menawarkan wartawan kanan Bloomberg yang terlibat dalam penerbitan artikel mengenai kasino Forest City untuk dipanggil sebagai saksi pembelaan.
Beliau yakin bahawa kesnya akan ditolak di peringkat pendakwaan kerana kesnya "sangat lemah" dan pengadu sendiri telah menarik balik laporan. Namun, jika kes ini dipanggil untuk pembelaan, Che'GuBard menyatakan kesediaan untuk memanggil Ram Anand, wartawan Bloomberg, ke mahkamah, di mana beliau percaya banyak perkara akan terbongkar.
Keputusan mahkamah esok akan menentukan sama ada kes ini akan diteruskan ke peringkat pembelaan atau ditolak.