HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Buli Musuh Negara

Seorang lelaki dengan mikrofon berdiri di hadapan bendera Pejuang. Terdapat potret kecil seorang wanita di sudut kiri atas.

Pejuang mengusulkan Kertas Putih Buli Musuh Negara segera diadakan.

Pejuang mencadangkan agar satu dasar negara yang jelas dilaksanakan segera untuk menangani isu buli yang makin menular sejak kebelakangan ini. Peristiwa sedih Arwah Zara Qairina Mahathir perlu menjadi kisah terakhir.

Rakyat harus mendesak Kerajaan untuk satu Kertas Putih "Buli Musuh Negara" diadakan. Kerajaan perlu mendengar rintihan, nasihat, cadangan dan idea dari semua pemegang taruh dalam isu ini.

Sekolah adalah tempat selamat. Untuk perkara ini dipastikan perlu ada cadangan holistik dan menyeluruh dibentang dalam Kertas Putih ini. Mekanisme paling mudah setakat ini adalah untuk PIBG setiap sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara diberi tempoh hingga tiga(3) bulan dari sekarang untuk merangka pelan atau cadangan untuk isu ini.

Mesyuarat PIBG dalam tiga bulan ini juga mestilah memerincikan kelemahan sudut prosedur laporan kes buli, kekurangan atau ketiadaan CCTV, kes-kes yang tidak diketengahkan atas pelbagai sebab,kekurangan guru-guru kaunseling,jumlah insiden-insiden buli/pemerasan/masalah pelajar di sekolah masing-masing.

Data yang diperolehi ini mestilah dimasukkan ke dalam Kertas Putih tersebut. Mesyuarat pula perlu dipanggil di setiap peringkat daerah, negeri dan pusat untuk dasar Buli Musuh Negara ini diperhalusi.

Satu prosedur "one size fits all' perlu disediakan yang akan digunapakai oleh setiap sekolah atau institusi tidak kira harian atau asrama penuh, kebangsaan atau jenis kebangsaan, tidak kira menengah atau rendah, agama atau biasa, kerajaan atau swasta.

Tujuannya adalah supaya segala isu dapat ditangani dengan tuntas dan cepat. Setiap satu nyawa yang dapat diselamatkan adalah kemenangan pada rakyat.

Pihak berkuasa PDRM, jabatan psikologi dan trauma Kementerian Kesihatan serta agensi penguatkuasaan lain juga perlu dibabitkan agar, mara ke hadapan, semua pihak berada atas pemahaman yang sama. Suatu prosedur operasi seragam juga mesti dikeluarkan agar setiap kes buli di Malaysia ini ditangani dengan cara yang sama.

Kertas Putih ini walau dikemudi oleh Kementerian kerana portfolio dan lojistiknya , tidak boleh diketuai oleh Menteri Pendidikan. Ianya perlu diketuai oleh pakar-pakar serta guru-guru yang pernah dinobatkan Tokoh Guru atau tokoh-tokoh masyarakat yang lain dari pelbagai bidang profesional. Wakil ibu bapa mesti dilibatkan juga agar ianya lebih berkesan.

Guru-guru dan cikgu pula mesti diberi peluang untuk menyatakan cadangan mereka termasuk isu muatan kerja atau tanggungjawab berlebihan sehingga kes-kes buli tidak mendapat perhatian. Ini juga perlu ditekankan dalam Kertas Putih tersebut.

Pejuang menyatakan bahawa isu 'Buli Musuh Negara' ini memerlukan kerjasama semua pihak. Setiap dari kita adalah ibu dan bapa atau akan menjadi ibu dan bapa, maka ianya terkait dengan semua.

Peredaran zaman serta kepantasan penggunaan teknologi telah menjadikan situasi kehidupan anak-anak kita amat berbeza dari masa dahulu. Namun, anak-anak kita semua adalah masa depan negara.

Peristiwa yang berlaku sekarang kalau tidak menjadi pengajaran akan menghantui masa depan anak cucu kita.

Pejuang sebagai parti politik yang menekankan kebajikan rakyat terbanyak dengan ini mengusulkan cadangan agar Kertas Putih Buli Musuh Negara ini dijalankan segera.

Penulis adalah Ketua Penerangan Pejuang, aktivis politik dan Peguam Bela