KUALA LUMPUR—Isu kewujudan "Briged 8200" yang didakwa sebagai tentera briged Israel di dalam platform media sosial negara baru-baru ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh aktivis dan pemerhati politik Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Sir Azri.
Beliau menyifatkannya sebagai propaganda Kerajaan Madani yang sengaja direka bagi mewujudkan perpecahan terutama dalam kalangan orang-orang Melayu Islam.
Menurut Sir Azri, naratif mengenai Briged 8200 ini sebenarnya pertama kali ditimbulkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang sebelum ini melahirkan ‘kebimbangan kewujudan kelompok tentera IDF’ di dalam platform TikTok.
Kenyataan menteri tersebut kemudiannya dilihat diikuti oleh beberapa pempengaruh media sosial yang mula membicarakan tentang Briged 8200, khususnya dalam konteks isu Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza (Sumud Flotilla).
"Briged 8200 sebenarnya tidak wujud dan ianya hanyalah satu propaganda Kerajaan Madani untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu dan Islam, dengan mencetuskan perpecahan hanya kerana perbezaan pandangan mengenai misi Sumud Flotilla. Ini seterusnya membawa naratif Anwar Ibrahim sebagai hero," tegas Sir Azri
Beliau mengambil contoh pempengaruh dan aktivis politik seperti Isham Jalil dan Jebat Derhaka, yang turut dituduh sebagai sebahagian daripada briged pro-Israel itu.
Sir Azri turut mendedahkan data sokongan awam terhadap isu Palestin-Israel di media sosial menunjukkan sokongan kepada Palestin adalah sebanyak 70%, hanya 1% sahaja yang memberi sokongan terhadap Israel. Manakala 29% lagi bersikap berkecuali. Hal ini, menurut beliau didedahkan sendiri oleh pihak TikTok.
Atas dasar itu, beliau menegaskan bahawa secara amnya, orang Melayu dan Islam Malaysia menyokong penuh misi kemanusiaan dan perjuangan membebaskan tanah Palestin, lebih-lebih lagi terbukti dengan kejayaan kempen boikot jenama-jenama yang dikaitkan dengan Israel. Justeru adalah tidak logik untuk mengaitkan mana-mana individu sebagai anggota Briged 8200 yang pro-Israel di Malaysia, katanya.
Beliau menambah tiada mana-mana pihak yang akan mendapat keuntungan daripada saling tuduh menuduh mengenai Briged 8200 ini, melainkan mereka yang mahu diangkat sebagai wira pejuang Palestin.
Sertai saluran Telegram Malay Digest untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!