HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Bila Tun M Didapati Bersalah?: Dewan Rakyat Bukan Mahkamah — Rafique

Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat

Foto: Bernama

Kuala Lumpur – Peguam, Rafique Rashid, hari ini mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di dewan rakyat berhubung isu Pulau Batu Puteh, khususnya dakwaan mengenai kesalahan Tun Dr Mahathir Mohamad, sambil mendakwa kenyataan Anwar sebagai tidak berasas dan menggesa agar laporan polis dibuat jika terdapat bukti kesalahan jenayah.

Menurut Anwar, Tun Dr Mahathir bersalah, namun Kabinet memilih untuk tidak meneruskan tindakan kerana faktor usia bekas Perdana Menteri itu yang mencecah 100 tahun. Perkara ini timbul susulan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh yang mencadangkan laporan polis dibuat untuk dakwaan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menipu.

Rafique mendakwa RCI tersebut adalah berat sebelah, dengan ahli-ahlinya yang mempunyai konflik kepentingan. Beliau juga menegaskan bahawa RCI tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa atau menghukum sesiapa, sebaliknya hanya menyiasat dan membuat syor.

Rafique juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak membuat laporan polis, pada ketika Dr Wan Azizah, Anthony Loke, dan Mohamed Sabu – yang didakwa hadir dalam mesyuarat Kabinet Pakatan Harapan (PH) 1.0 ketika keputusan Batu Puteh dibuat – tidak merasakan mereka ditipu pada masa itu.

"Mana pertuduhan terhadap Tun M? Mana perbicaraan terhadap Tun M? Bila Tun M dipanggil bela diri? Mahkamah mana yang dapati Tun M bersalah?"

Rafique menegaskan bahawa hanya mahkamah yang boleh memutuskan seseorang itu bersalah, bukan Perdana Menteri atau Kabinet.

Beliau menambah, "Perdana Menteri bukanlah polis yang menyiasat atau pendakwa yang bawa pertuduhan, jauh sekali seorang Hakim yang jatuhkan sabitan dan dan hukuman. Mahkamah bersidang di mahkamah bukan di Dewan Rakyat. Ini perkara asas yang budak sekolah menengah pun faham.”, tegas Rafique.

Rafique mengingatkan Anwar Ibrahim untuk berkata benar, jika tidak mahu implikasi yang buruk di mata rakyat—umpama “Batu Puteh, hatinya hitam.”