KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat semalam, 23 Julai 2025, menjadi saksi perdebatan sengit mengenai strategi kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya berkaitan inflasi makanan. Perdebatan ini tercetus susulan soalan dari Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (YB Larut) kepada Menteri Kewangan, yang dijawab oleh Timbalannya, Lim Hui Ying.
Hamzah Zainudin menegaskan data inflasi yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri, yang menunjukkan kadar inflasi keseluruhan yang stabil 1.1 peratus pada Jun 2025 sebagai kelihatan positif namun jauh dari jangkaan realiti semasa terutama berkait soal inflasi makanan.
Beliau memetik contoh kenaikan inflasi makanan di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan (3.3 peratus), Selangor (3.1 peratus), dan Putrajaya (2.9 peratus). Hamzah turut merujuk kepada kenaikan harga ikan kembung di Kuala Lumpur dari RM14.80 sekilogram pada 30 Jun (sebelum peluasan SST) kepada RM16 sekilogram pada selasa lalu, berdasarkan data PriceCatcher KPDN.
Sebelum itu, Lim Hui Ying menyatakan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion untuk menangani kos sara hidup, termasuk RM300 juta untuk Program Payung RAHMAH dan RM700 juta untuk program pengurangan kos sara hidup lain, serta mengawal harga barangan asas seperti beras dan minyak masak. Jualan RAHMAH juga dipergiatkan bagi menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan di semua Dewan Undangan Negeri.
"Sebab itu soalannya adalah supaya kerajaan mencari jalan, apakah jalan yang sebenarnya untuk kita menurunkan inflasi makanan ini?" desak Ketua Pembangkang yang turut mempersoalkan keberkesanan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam menurunkan harga makanan, di samping meragui Jualan RAHMAH jika harga masih terus meningkat.
"Memang bila kita laksanakan perkembangan SST, kita memang sudah siap sedia untuk kesan, memang makanan atau kos sara hidup akan dinaikkan," jelas Lim Hui Ying.
Lim membalas dengan menjelaskan bahawa inflasi makanan secara purata adalah 2.1 peratus, walaupun mengakui mungkin ada kenaikan lebih tinggi di sesetengah tempat seperti Negeri Sembilan.
Namun, beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan sentiasa memantau harga di lapangan. Ini kerana, menurutnya, peluasan SST adalah bersasar dan kerajaan tidak mahu harga barangan, terutamanya makanan asas, dinaikkan. "Kami janji akan memantau dari masa ke semasa supaya kos sara hidup masih kekal tidak akan naik, terutamanya harga makanan asas," tegasnya.
Bagaimanapun perbahasan menjadi lebih hangat apabila Chong Zhemin (YB Kampar) mencelah, cuba membetulkan kenyataan Hamzah Zainudin dengan memetik peraturan mesyuarat 36(12) yang didakwanya sebagai menghina majlis.
"Larut tadi cuba kaitkan ikan kembung yang tinggi kepada inflasi yang rendah, tapi saya nak bagitahu ikan kembung bukan dalam bakul makanan untuk ukur kadar inflasi," jelas Zhemin, sambil mendakwa Hamzah cuba mengelirukan Dewan dengan mengaitkan harga ikan kembung dengan kadar inflasi keseluruhan yang rendah.
Namun, campur tangan Chong Zhemin diakhiri apabila Timbalan Yang di-Pertua, Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor, membuat keputusan untuk menolak hujah YB Kampar, dengan menegaskan hujah Zhemin sebagai tidak relevan.”