KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir, memberi bayangan bahawa, mungkin ada usaha menggagalkan himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai di Dataran Merdeka hujung minggu nanti.
Dalam kenyataan di platform Facebook hari ini, Dr Mahathir menegaskan bahawa walaupun himpunan tersebut akan berlangsung secara aman dan mengikut Perlembagaan, namun, laporan media yang menyebut 2,000 anggota polis akan dikerahkan untuk memastikan tiada senjata dibawa oleh peserta, adalah suatu yang pelik.
Sambil mengakui undang-undang negara membenarkan sekatan jalan oleh polis, beliau menegaskan bahawa undang-undang juga melarang sebarang tindakan yang akan menggagalkan kehadiran di rapat raksasa itu.
"Akan ada puak tertentu yang akan bawa senjata. Ini cara mereka untuk polis ada road block," dakwa Dr Mahathir, menyifatkan tindakan itu sebagai "cara PMX".
Beliau mendakwa bahawa undang-undang disalah guna di bawah kerajaan Perdana Menteri sekarang.
"Tidak ada rule of law dalam Kerajaan PMX. Hanya seperti dahulu salah guna kuasa," tegasnya.