KUALA LUMPUR, 13 Julai 2025 – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menyiasat kandungan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) yang bocor, dan tidak hanya tertumpu kepada siasatan mengenai penyebaran dokumen tersebut.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, walaupun pihaknya menyokong usaha Ketua Polis Negara (KPN) untuk menyiasat ketirisan dokumen sulit itu, adalah penting untuk pihak berkuasa bersikap adil dengan turut menyiasat dakwaan salah laku seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang dinamakan dalam minit tersebut.
"Dari bacaan awal, jelas ada elemen-elemen salahlaku terkait penama yang dikatakan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan. Menghalang proses pelantikan hakim-hakim dan tidak melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah satu bentuk kesalahan."
Pejuang menyarankan agar siasatan dijalankan di bawah beberapa seksyen Kanun Keseksaan berkaitan penyelewengan dan pengubahan dokumen rasmi. Parti itu secara khusus meminta KPN memberi arahan agar hakim berkenaan dipanggil untuk dirakam percakapan, terutamanya apabila terdapat dakwaan pengakuan oleh beliau kerana membelakangkan SPK.
Sambil memetik skandal 1MDB sebagai pengajaran, Rafique mengingatkan agar tidak mengulangi sejarah di mana hanya pihak yang mendedahkan isu disiasat, manakala pelaku utama seolah-olah terlepas.
“Kita harus belajar dari sejarah. Setiap kali tular atau bocor perkara-perkara sebegini, yang disiasat adalah pihak yang sebarkan, sedangkan pelaku yang dinamakan dalam sebaran seolah suci bersih,” ujarnya.
Pejuang menekankan bahawa integriti badan kehakiman adalah amat penting untuk keyakinan rakyat dan pelabur asing terhadap sistem negara. Justeru, siasatan yang adil dan tuntas perlu dijalankan selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kesamarataan di sisi undang-undang untuk semua pihak.