HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Ribuan Rakyat Hadir Program Seabad Tun Dr Mahathir

>
Tun Dr Mahathir dikerumuni rakyat pada sambutan hari lahirnya yang ke-100.
Tun Dr Mahathir menyantuni rakyat yang hadir meraikan ulang tahun kelahirannya di Putrajaya.

PUTRAJAYA, 13 JULAI 2025 – Tiada sambutan negarawan, tiada peruntukan ratusan ribu, tiada majlis rasmi dari pihak kerajaan. Namun ribuan rakyat membanjiri tasik Putrajaya, bersebelahan Yayasan Kepimpinan Perdana bagi menyambut ulang tahun kelahiran ke-100, Tun Dr Mahathir Mohamad dan yang ke-99, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini.

Pemimpin sentenarian itu hadir kira-kira jam 7:45 pagi untuk memulakan aktiviti mengayuh basikal di sekitar tasik sejauh 9 kilometer diiringi pegawai keselamatan khas serta disambut meriah dengan lambaian rakyat yang berbaris sepanjang laluan, memanggil nama mantan Perdana Menteri ke-4 & ke-7 itu.

Rata-rata yang hadir pada hari ini turut membawa hidangan potluck untuk bersarapan dan bersantai bersama keluarga di tepi tasik. Tidak kurang juga yang turut serta mengayuh basikal dan berjoging bersama-sama Tun Dr Mahathir. Program seabad Tun Dr Mahathir anjuran bersama kumpulan Telegram Walabot itu berjaya mengumpul ribuan rakyat yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu empat mata dengan negarawan kesayangan itu.

Antara yang turut serta hadir adalah Tun Hasmah, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mokhzani Mahathir.

Walaupun agak sedikit keletihan selepas menamatkan kayuhan, Tun Dr Mahathir masih mampu tersenyum ceria menyantuni rakyat yang hadir sebelum terpaksa meninggalkan majlis lebih awal jam 10 pagi untuk berehat. Menurut Mokhzani, Tun mengayuh agak jauh dan disebabkan beliau menghadiri program semalam menyebabkannya kurang tidur dan perlu memberi ruang untuk beliau berehat lebih panjang.

Kredit Tambahan: Sebilangan gambar dalam galeri ini adalah sumbangan daripada ahli Kumpulan Telegram Walabot.