HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Barisan Peguam Adakan Perarakan Pertahan Integriti Kehakiman Esok

Istana Kehakiman di Putrajaya

Istana Kehakiman di Putrajaya.

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2025 – Sebuah “Perarakan pertahan integriti Kehakiman” di Istana Kehakiman, Putrajaya akan diadakan pada jam 2 petang esok, 14 Julai. Tindakan ini diambil susulan pendedahan satu dokumen yang didakwa sebagai ‘minit mesyuarat bocor’, yang dikatakan membuktikan wujudnya campur tangan dalam badan kehakiman negara.

Menurut peguam Rafique Rashid, dokumen yang tular itu mengesahkan amaran yang pernah diberikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, peguam-peguam kanan, dan pihak pembangkang mengenai isu tersebut.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Rafique mendakwa bahawa campur tangan itu adalah serius kerana ia melibatkan seorang hakim yang sebelum ini merupakan Peguam Negara. Beliau turut menyatakan bahawa individu tersebut dilantik sebagai Peguam Negara dan kemudiannya sebagai hakim atas nasihat Perdana Menteri (PMX).

"Kini Hakim ini dituduh tiada integriti. Dituduh atur hakim belakangkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Itu satu kesalahan yang jika sabit boleh dihukum."

Beliau menegaskan bahawa segala isu integriti ini akhirnya kembali kepada PMX yang menasihatkan pelantikan tersebut. Oleh itu, Rafique menggesa Perdana Menteri untuk tidak lagi berdiam diri dan bertanggungjawab.

“PMX harus undur. Dia masalah dan punca utama. Kini sistem Kehakiman mangsa seterusnya,” tegasnya.

Rafique turut memberi amaran tentang tindakan lanjut dengan menyatakan, “Kalau esok peguam, 26 Julai rakyat pula. Masa untuk rakyat bertindak telah tiba.”

Beliau menyeru semua pihak untuk bersatu dalam isu ini demi mempertahankan sistem kehakiman negara yang disifatkannya sebagai milik semua.