PUTRAJAYA, 14 Julai 2025 – Suasana di Putrajaya hari ini hangat bukan sahaja kerana cuaca yang terik, tetapi juga dengan laungan "Bebas! Bebas! Bebas Kehakiman!" oleh ribuan peguam yang berarak bagi mempertahankan integriti dan kebebasan badan kehakiman.
Perarakan yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia itu bermula sekitar jam 2 petang di hadapan Istana Kehakiman. Para peguam, yang memakai topi biru Majlis Peguam, dilihat berkumpul sebelum memulakan perarakan sejauh 2.5 km menuju ke Pejabat Perdana Menteri di bawah kawalan pihak polis.
Dilaporkan hampir 4,000 individu turut serta dalam perarakan tersebut termasuk beberapa ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh ternama termasuk bekas menteri undang-undang, Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Menurut peguam Rafique Rashid, perarakan itu diadakan untuk beberapa tujuan penting, antaranya memelihara kebebasan badan kehakiman, menghantar mesej yang jelas tentang kedaulatan undang-undang, menegakkan keadilan dan kesaksamaan, menjadi suara kepada para hakim yang tidak boleh bersuara dan memberi isyarat kepada rakyat untuk turut sama mempertahankan integriti.
Setibanya kumpulan perarakan di hadapan Pejabat Perdana Menteri, mereka disambut oleh pegawai yang mengedarkan aiskrim percuma untuk membantu meredakan bahang cuaca panas. Namun yang menariknya adalah respon diberikan oleh peguam, Rafique Rashid:
“Kami mahu keadilan, bukan sekadar....ais krim”