PUTRAJAYA—Satu sidang meja bulat yang diketuai negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini meluluskan satu resolusi bersama yang mendakwa Perjanjian Timbal Balas (ART) Amerika Syarikat-Malaysia telah "mengorbankan kemerdekaan" negara.
Resolusi tersebut menyifatkan perjanjian yang diluluskan oleh pentadbiran Anwar Ibrahim sebagai "amat berat sebelah serta memihak kepada kuasa luar".
Dalam satu kenyataan, perjanjian tersebut secara dasarnya menjadikan Malaysia sebuah "negeri naungan atau lindungan (a vassal state)" kepada Amerika Syarikat.
"Perjanjian ini mengikat Malaysia kepada rentak tarian Amerika Syarikat," petik resolusi itu.
Akibat perjanjian tersebut, Malaysia akan hilang kebebasan untuk berdagang secara terbuka dengan negara-negara lain dan bakal menjejaskan hubungan dagang sedia ada dengan rakan dagang serata dunia.
Resolusi itu juga mendakwa perjanjian ART membenarkan dasar campur tangan Amerika Syarikat dalam hampir keseluruhan ekonomi negara.
Ini didakwa merangkumi sektor kritikal seperti industri pemakanan, pembuatan, pertanian, telekomunikasi, ketenteraan, nuklear, nadir bumi, dan perlombongan.
Malah, resolusi itu membangkitkan kebimbangan bahawa hak Malaysia untuk menentukan halal haram barangan yang dibawa masuk dari AS tidak dapat lagi ditentukan oleh negara kita.
Kumpulan itu turut mendakwa perjanjian itu jelas melanggar peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan, hak dan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak-hak Melayu dan Bumiputera serta mengenepikan hak-hak Kerajaan Negeri.
Kenyataan bersama itu juga menolak jaminan yang diberikan oleh perdana menteri, dengan menyifatkan penjelasan kerajaan "amat diragui".
"Kenyataan Perdana Menteri kononnya Malaysia masih bebas dan boleh menentukan hala tuju sendiri tidak langsung meyakinkan dan berbeza dengan terma-terma yang wujud dalam Perjanjian tersebut."
Mereka turut menolak hujah "exit clause" (fasal keluar) yang disebut oleh perdana menteri, melabelkannya sebagai satu penipuan yang tidak akan dapat mengeluarkan kita dari perangkap ini.
Justeru, resolusi itu diakhiri dengan gesaan agar Perdana Menteri dan kabinetnya meletakkan jawatan.
"Satu-satunya 'exit clause' yang ada sekarang adalah untuk Dato Seri Anwar Ibrahim dan kabinetnya bertanggungjawab dan letak jawatan," tegas resolusi itu.
Antara tokoh lain yang dilaporkan hadir termasuk:
- Bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar
- Bekas Menteri Pelancongan Tan Sri Rais Yatim
- Bekas Menteri Perpaduan Waytha Moorthy Ponnusamy
- Bekas Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir
- Bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun
- Peguam Zainur Zakaria dan Rafique Rashid
- Pakar ekonomi Dr. Muhammad Khalid