HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

ART: Mengapa Gagal Ditangguh 6 Bulan Sebelum Dimeterai?

Peguam Rafique Rashid

Peguam Rafique Rashid. Foto: HarakahDaily

KUALA LUMPUR — Tekanan terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) semakin memuncak apabila tiga Ahli Parlimen daripada PKR kini turut menyertai barisan pengkritik, dengan menyatakan bahawa perjanjian itu "berbahaya" dan "mengancam kedaulatan."

Tindakan Ahli Parlimen kerajaan itu dialu-alukan oleh peguam Rafique Rashid, yang menyifatkan ia sebagai bukti bahawa mereka "ada membaca dan mengkaji tentang ART," walaupun "dua minggu lewat" selepas perjanjian itu dimeterai.

Dalam satu hantaran Facebook hari ini, Rafique mempersoalkan mengapa Malaysia tergesa-gesa menandatangani perjanjian itu pada 26 Oktober 2025?

Beliau mendedahkan bahawa Malaysia sepatutnya sudah mempunyai pengetahuan awal mengenai isu di mana Mahkamah dan Senat Amerika Syarikat, pada sekitar April 2025 telah mula mempersoalkan tarif Trump.

"Maknanya 6 bulan sebelum itu Malaysia sudah ada pengetahuan mengenai penolakan tarif Trump... Tidakkah ini mencukupi untuk digunakan oleh Malaysia semasa sesi libat urus... untuk ART ditangguh sebelum disempurnakan?" tegas Rafique.

Kritikan dalaman itu hadir ketika pimpinan tertinggi kerajaan terus mempertahankan perjanjian tersebut. Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata pihak pembangkang "tidak baca dan tak faham" perjanjian itu. Manakala Tengku Zafrul pula menegaskan bahawa perjanjian tersebut mesti dibaca "penuh dan bukan separuh masak" sambil menafikan dakwaan bahawa negara tergadai.

Rafique, bagaimanapun, berkata bahawa kritikan kini datang dari semua penjuru, termasuk "dalam blok Kerajaan."

"Sejak mula lagi pelbagai pihak telah kritik ART ini. Berat sebelah, tidak untungkan Malaysia dan gadai kedaulatan," tulisnya, merujuk kepada kritikan daripada pelbagai agensi berita luar negara serta resolusi pada 3 November yang menggesa Perdana Menteri meletak jawatan.

Rafique juga mempersoalkan strategi rundingan negara, dengan menyatakan Malaysia sepatutnya mengambil langkah berunding dengan negara-negara jiran.

"Tidakkah masa mencukupi untuk kita kumpul semua negara ASEAN dan berbincang dengan Amerika sebagai satu blok besar? Kalau kita bincang secara multilateral, sudah pasti kepentingan dan kedaulatan akan lebih terjamin," tegasnya.

Beliau mengkritik perjanjian itu yang secara jelas ditandatangani di bawah tekanan dan demi "keperluan sebagai satu pertunjukan atas pentas."