KUALA LUMPUR: Pasukan peguam yang mewakili Rawther hari ini membidas tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menggunakan pelbagai taktik bagi melengah-lengahkan perbicaraan yang telah tertangguh sejak Julai 2021.
Dalam sidang media yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Rafique Rashid mendedahkan bahawa Anwar telah menukar peguamnya sebanyak empat kali sejak kes tersebut bermula yang pada asalnya telah ditetapkan perbicaraan penuh pada Jun 2025.
Namun, dua minggu sebelum tarikh perbicaraan tersebut, pihak Anwar telah memfailkan permohonan (Lampiran 145) untuk merujuk lapan soalan undang-undang berkait kekebalan (imuniti) ke Mahkamah Persekutuan.
Selepas permohonan tersebut ditolak oleh Hakim Ros Mawar Rozain beserta kos RM20,000, pihak Anwar yang tidak berpuas hati seterusnya memfailkan pula rayuan yang menyebabkan perjalanan perbicaraan pada Jun 2025 terpaksa ditangguhkan.
“Ini bermakna, sejak kes ini didaftarkan pada Julai 2021, hingga hampir masuk ke Julai 2026 nanti, genap 5 tahun kes ini masih belum lagi dibicarakan—Rafique.
Sekitar Mac 2026, Anwar Ibrahim sekali lagi menukar peguam cara dengan peguam baharu menarik balik rayuan berkenaan kekebalan tersebut. Mahkamah seterusnya memerintahkan Anwar untuk membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Rawther.
Kejutan terbaharu buat pihak plaintif berlaku pada hari ini, 8 April 2026, apabila mereka dimaklumkan mengenai satu lagi permohonan baharu (Lampiran 186) yang difailkan oleh peguam Anwar pada 31 Mac 2026 di bawah Aturan 33.
Melalui permohonan ini, Anwar mahu mahkamah memutuskan tiga soalan asas serta mendakwa bahawa pada tarikh insiden yang diadukan iaitu 2 Oktober 2018, Yusoff Rawther tidak berada di kediamannya.
“Kalau boleh Anwar mahu buang terus kes ini tanpa melalui perbicaraan—Rafique.
Lebih mengejutkan apabila Anwar memohon agar persoalan ini diputuskan berdasarkan keterangan afidavit tanpa memanggil saksi, dan sekiranya saksi perlu dipanggil, beliau menuntut agar perbicaraan diadakan secara tertutup (behind camera). Anwar turut mendakwa dalam afidavitnya bahawa isu ini sedang dipolitikkan.
Difahamkan pihak plaintif akan menfailkan afidavit bagi membantah permohonan Anwar ini pada 3 Mei 2026 sebelumn akan kembali semula ke Mahkamah pada 4 Mei 2026.
“Apa keistimewaan manusia bernama Anwar Ibrahim yang boleh minta perkara semacam ini?—Rafique.
Dalam sidang media yang sama, Rafique yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), turut melontarkan persoalan kepada Ketua Polis Negara berhubung nasib laporan polis yang dibuat oleh Rawther pada 12 September 2024.
Beliau sebelum ini telah mendakwa Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador, telah terlibat dalam rancangan untuk memerangkap beliau dengan meletakkan dadah dan pistol tiruan di dalam keretanya.
Untuk rekod, pada Jun 2025, Hakim Mahkamah Tinggi, telah membebaskan Yusoff Rawther daripada pertuduhan tersebut dan dengan jelas menyatakan dalam alasan penghakimannya bahawa pihak polis telah gagal untuk merakam percakapan Anwar dan Farhash.
"Daripada September 2024... sehingga sekarang pin drop silence (sunyi sepi) daripada IGP," bidas Rafique. Beliau mendesak pihak polis mendedahkan sama ada keterangan Anwar dan Farhash sudah dirakam atau belum.
"Jika tiada jawapan, maka benarlah di Malaysia ini, kalau anda Perdana Menteri, ada hubungan baik dengan PM dan berkuasa, anda tidak akan disoal siasat. Tapi kalau anda membangkang PM, anda akan ditangkap jam 3 pagi", ujar Rafique