KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan bahawa syarikat asing, Vitol, telah mendapat kelulusan untuk membawa minyak dari Pengerang untuk dijual ke Filipina.
Berucap pada satu Majlis Ramah Mesra Madani bersama pelajar tahfiz di Kuala Terengganu, Anwar menjelaskan bahawa syarikat Vitol bukanlah sebuah entiti tempatan mahupun milik Petronas.
Menurut Anwar, pihak kerajaan sekadar "memberi laluan" kepada syarikat asing tersebut yang tertakluk di bawah perjanjian asing.
"Dia memang ada perjanjian bawa minyak jual ke Filipina. Bukan kita bagi pada Filipina tapi kita tidak menahan," kata Anwar
Pendedahan tersebut bagaimanapun mengundang respons daripada mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil yang berpendapat pengakuan Perdana Menteri itu secara tidak langsung mengesahkan bahawa minyak diesel tersebut sememangnya diproses dan dihasilkan di kemudahan penapisan minyak mentah Pengerang, Malaysia.
Menurutnya lagi kenyataan ini menangkis dakwaan penyokong kerajaan sebelum ini yang mendakwa kapal diesel berkenaan berasal dari India dan hanya berlabuh secara transit di perairan Malaysia.
Susulan itu, Isham mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menahan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwanya menyebarkan maklumat palsu serta mengelirukan rakyat.
Dalam kenyataan sama di laman Facebook beliau, Isham turut membidas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang dilaporkan mempertahankan isu ini dengan berkata diesel berkenaan bukanlah hak milik kerajaan atau Petronas.
Namun Isham menegaskan bahawa tiada pihak pembangkang yang membangkitkan isu pemilikan, sebaliknya persoalan pokok yang menjadi pertikaian adalah asal-usul minyak tersebut.
Isham seterusnya menuntut agar pihak kerajaan segera menjawab persoalan tentang siapakah yang memberikan kelulusan kepada syarikat asing Vitol untuk mengambil berpuluh juta liter diesel dari Malaysia untuk dieksport ke Filipina?