Peguam Rafique Rashid, semalam mempersoalkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung jawapannya terhadap dakwaan yang dilemparkan oleh Jeneral Rangsi, dan kebimbangan mantan Presiden Indonesia.
Dalam satu hantaran di Facebook, Rafique mendakwa Anwar gagal memberikan jawapan yang jelas terhadap soalan mudah, sebaliknya memberikan respons "panjang berjela" selama tujuh minit empat saat yang disifatkannya sebagai "penuh bebelan tidak berisi."
"Soalan jelas, jawapan mesti jelas," tegas Rafique, merujuk kepada beberapa isu panas termasuk tuduhan Jeneral Rangsi, kaitan isu nadir bumi Thailand dengan "perjanjian damai" Thailand-Kemboja, dan kebimbangan mantan Presiden Indonesia terhadap campur tangan Amerika Syarikat.
"Dia kata Rangsi kalah pilihanraya. Dia kata ada yang nak jadikan Rangsi hero," tulis Rafique, sambil mempersoalkan logik tersebut. "Bila masa kalau tanya soalan maknanya jadikan Rangsi hero?"
Rafique juga mendakwa perdana menteri cuba menggambarkan pengkritiknya sebagai penentang keamanan.
"Dia kata yang kecam dia tidak mahu keamanan. Dia kata yang soal dia tidak mahu keamanan, doakan kegagalan," katanya.
Meskipun Anwar dilaporkan berkata Malaysia hanya "bantu selaras pertemuan" untuk proses damai Thailand-Kemboja, Rafique turut menyorot apa yang dilihatnya sebagai salah tafsir Anwar terhadap kebimbangan mantan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY).
Rafique menjelaskan bahawa kegusaran SBY bukanlah mengenai perjanjian timbal balik Malaysia-AS (Klausa 5.2 dan 7.3) yang tiada kaitan dengan Indonesia.
"Kegusaran SBY adalah pada campurtangan kuasa veto dalam urusan ASEAN," tegasnya.
Rafique menyimpulkan kritikannya terhadap keupayaan perdana menteri untuk memahami isu tersebut.
"Dia tak faham soalan atau tak faham apa dia kata? Pilihlah mana satu," tulisnya.
"Semua orang salah, dia saja yang betul. Bukti Anwar tidak ada kriteria Perdana Menteri."
—Malay Digest