HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Anwar Sudah Dilabel Sebagai Pengkhianat ASEAN—Peguam

Jeneral A. Rangsi Kitiyansap

Jeneral A. Rangsi Kitiyansap ketika muncul dalam satu siaran di stesen TV digital One31 Isnin lalu.

KUALA LUMPUR—Peguam Rafique Rashid, dalam sebuah kenyataannya di Facebook hari ini berkata Malaysia dan ASEAN perlu segera diselamatkan kerana Presiden Trump telah memperolehi boneka yang akan menari ikut rentak Amerika.

Ia susulan pendedahan jeneral A. Rangsi Kitiyansap, yang mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah seorang "pengintip" (sai suek) dan "musuh dalam selimut" yang bertindak sebagai "boneka" Amerika Syarikat (AS) dalam ASEAN.

Rafique memetik komen oleh Rangsi, yang merupakan bekas ketua Radio dan Televisyen Tentera Di Raja Thailand, dalam satu siaran di stesen TV digital One31 pada 3 November lalu.

Rakaman video program yang kini tular itu, kata Rafique, pada asalnya membincangkan kontroversi perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja.

Bagaimanapun, Rafique mendakwa Jeneral Rangsi amat marah kerana perjanjian damai itu, yang didakwanya melibatkan Anwar selaku Pengerusi ASEAN, telah "membenarkan Amerika Syarikat memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand."

"Rangsi menyatakan bahawa perjanjian damai itu telah menggabungkan sekali perjanjian usahasama berkenaan cukai dagangan dan nadir bumi (REE)," kata Rafique.

Rafique memetik Rangsi sebagai berkata perjanjian itu akan menyebabkan Thailand kerugian hak ke atas nadir bumi yang dianggarkan bernilai "40 - 50 trilion baht."

"Rangsi melabel Anwar Ibrahim, Pengerusi ASEAN sebagai pengkhianat dan musuh dalam selimut. Malah Rangsi juga melabel Anwar Ibrahim menggunakan situasi perjanjian tersebut untuk angkat diri Anwar sendiri."

Rafique menambah, apabila hos program menyentuh peranan Presiden AS Donald Trump dan Anwar, Rangsi menjawab bahawa Anwar adalah "sai suek (pengintip) dalam ASEAN".

"Rangsi juga menyelar tindakan Anwar Ibrahim yang mengambil kesempatan dari konflik Thai-Cambodia bagi tujuan menyelit perjanjian dagang dan nadir bumi dengan Amerika," tambahnya.

Mengulas lanjut, Rafique mengaitkan pendedahan itu dengan dasar pentadbiran Trump yang didakwanya menggunakan "konsep dominasi dunia melalui perdagangan timbal balas serta mendakwa Trump telah mengeksploitasi kelemahan Anwar untuk kepentingan AS.

"Trump tahu kelemahan Anwar adalah glitz, glamour, camera, muzik, tarian, showmanship serta keperluan untuk diiktiraf, Sebab itu kita lihat ART 2025 US-Malaysia, Perjanjian Damai Thai-Cambodia (sekarang ini menurut Rangsi diselit tarif dan nadir bumi) begitu tergesa-gesa. Trump telah perolehi boneka yang akan menari ikut rentaknya. Malaysia dan ASEAN perlu diselamatkan," tegas Rafique.