Hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 di Baling, Kedah, berkata “Saya ingat saya masuk penjara 2 tahun sebab saya bangkit bela nasib orang miskin (di Baling).”
Tapi apa yang Anwar Ibrahim tak cerita pada rakyat adalah khabar angin tentang orang mati kebuluran di Baling pada tahun tersebut. Berita mati kebuluran ini menggegar negara berikutan tunjuk perasaan pelajar-pelajar Universiti yang diketuai oleh Anwar Ibrahim sendiri, di Kuala Lumpur.
Polis terpaksa bertindak menahan kepala tunjuk perasaan itu, Anwar Ibrahim dan Idris Sanusi pada 14 Disember 1974 di bawah ISA.
“Bukan kerana dia pemimpin ABIM tetapi kerana menghasut pelajar-pelajar mengadakan demonstrasi haram,” kata satu kenyataan polis.
Dalam tunjuk perasaan itu pelajar-pelajar telah membaling batu dan memaki hamun polis sebagai anjing dan barua kerajaan.
Tun Dr. Mahathir yang ketika itu berkhidmat sebagai Menteri Pelajaran telah mencabar pemimpin-pemimpin pelajar supaya memberikan nama orang yang didakwa mati kelaparan.
Tunjuk perasaan ini pula menular dalam kalangan penoreh-penoreh getah di Baling kemudiannya.
Hal ini diceritakan sendiri oleh Tokoh Wartawan Negara, Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin (TS ZAM), dalam bukunya bertajuk Hari Itu Sudah Berlalu, terbitan Utusan Publications, tahun 2011.
Masa itu, Ketua Pengarang Utusan Melayu telah minta TS ZAM untuk ke Baling. Gara-gara seorang pensyarah Universiti Malaya yang ketika itu turut percaya cerita ini.
Sampai di Baling, TS ZAM terkejut, bukan sahaja orang ramai, malah 20 orang pengganas komunis pun turut sama percaya cerita tersebut hingga mereka keluar dari hutan di Baling, lengkap beruniform dan bersenjata, berkamera untuk memberi bantuan perubatan kepada penduduk kampung di sana.
Sebenarnya, komunis hanya nak ambil kesempatan kerana mereka percaya orang kampung yang sedang menderita kebuluran pasti akan sambut komunis dengan baik.
TS ZAM rasa bertuah sungguh masa hari kejadian kerana dapat berita ekslusif di luar jangkaan. Ramai orang yang ingat masa itu gerakan pengganas komunis dah pun tamat.
Masa TS ZAM sampai pada 17 Disember 1974, beliau ada menemui Penolong Pegawai Daerah Baling, Abdul Rahim Ahmad. Serentak itu beliau dapat berjumpa dengan Pegawai Polis Daerah, Raja Ahmad Raja Badiozaman dan tiga (3) orang doktor dari Hospital Baling, Dr. Tan Ah Hock, Dr. Muthusamy & Dr. Indrani.
Tiga-tiga orang doktor nafikan kes berkait mati kebuluran seperti yang digemparkan oleh pelajar-pelajar di Kuala Lumpur.
“Memang rata-rata orang miskin di kampung-kampung di sini, tapi sejak November lalu, kami tidak jumpa kes begini (mati kebuluran).”
Dr. Tan Ah Hock beritahu:
“Untuk seseorang mati kebuluran akan mengambil masa beberapa bulan dan dalam proses menemui kematiannya dia hanya akan tinggal tulang dan kulit sahaja. Mustahil jiran-jiran sebelah rumah atau sekampung tak tahu.”
TS ZAM tetap tak berpuas hati. Beliau berjumpa pula dengan Hussein Mohd Zain, Ketua Pemuda UMNO Baling untuk bawa beliau ke satu kawasan paling miskin di sana demi nak cari bukti orang mati kebuluran. Namun tetap tidak menemui jejak-jejak tersebut.
TS ZAM turut menceritakan bagaimana pelajar-pelajar dari Kuala Lumpur masuk ke kampung-kampung di Baling dan daerah dekat Sik dan Jeniang, menghasut penduduk melancarkan “mogok lapar,” secara spontan lebih 10,000 orang telah keluar berhimpun di depan Pejabat Daerah Baling.
Momen itu berlangsung tatkala Tun Abdul Razak mengutuskan Tun Musa Hitam ke sana bagi menyelesaikan masalah penurunan harga getah ketika itu. Maka berlakulah insiden rempuhan pintu pagar, menurunkan bendera negeri dan menaikkan seberkas ubi kayu pada tiang bendera. Bahkan ada sesetengah mereka yang membawa parang dan cangkul.
Tun Musa Hitam datang dengan disambut laungan “Musang Hitam.” Namun ketenangan beliau berjaya meredakan suasana tegang dan menyuraikan tunjuk perasaan itu. Beliau memberi jaminan dari Perdana Menteri bahawa harga getah akan dinaikkan serta merta.
Nyatalah “kebijaksanaan” pemimpin-pemimpin pelajar mengeksploitasi cerita mati kebuluran itu, bukan saja meyakinkan rakyat biasa, malah sampai kepada pengganas komunis pun boleh turut percaya.
Hari ini, ketika Anwar menjejak kaki ke Baling sebagai Perdana Menteri, daerah itu tidak lagi digelar sebagai yang termiskin di negeri Kedah. Sebaliknya telah banyak mengalami perubahan dari bangunan-bangunan baharu, pusat-pusat perniagaan setempat serta terkenal dengan lokasi percutian air panas Ulu Legong.
“Namun yang tetap tidak berubah ialah bekas pemimpin pelajar yang memimpin tunjuk perasaan lebih 50 tahun lalu. Walaupun realiti negara telah berubah, anak-anak petani dan nelayan telah berjaya diasuh, terpelajar dan menjadi kalangan profesional dan ahli perniagaan, tetapi dia masih menggunakan pelbagai isu rakyat yang real, rekaan dan juga imaginasi. Beliau memang mempunyai kepakaran dan kecekapan mengeksploitasi isu yang kecil menjadi besar, yang hitam menjadi putih, kekarutan menjadi kebenaran malah berjaya menutup kehinaan dan dosa dari satu pementasan ke satu pementasan.”
—Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin, 2 Ogos 2009.