HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

Antara Kesombongan Trump, Tempelak Anwar dan Pesan Mahathir

Dump Trump

Protes Dump Trump oleh Rakyat Malaysia

Anwar Ibrahim, semalam, menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara, Oktober ini. Walaupun tidak menamakan secara jelas pihak berkenaan, tapi hampir semua dari kita boleh menduga tempelakan itu ditujukan kepada negarawan Tun Dr. Mahathir.

Gesaan Tun kepada Anwar supaya menarik balik jemputan ke atas Trump melalui video di Facebook, tular dengan lebih setengah juta tontonan dan menerima lebih 30 ribu tanda suka. Di platform TikTok, video berkenaan juga mendapat lebih setengah juta tontonan dengan hampir 80 ribu tanda suka. Itu belum lagi perkongsian pengguna lain di akaun media sosial masing-masing.

Penerimaan meluas rakyat mengenai gesaan Tun Dr. Mahathir ini adalah senada dengan pendirian Malaysia yang selama ini menentang kezaliman dan penjajahan sistemik golongan zionis ke atas rakyat Palestin. Dek kerana kerasnya negara kita, melalui pentadbiran Tun selama 22 tahun memperjuangkan kemerdekaan tanah Palestin, rakyat di sana bahkan telah mengisytihar tanah tersebut juga adalah milik rakyat Malaysia.

Dalam laporan Berita Harian hari ini, Anwar tidak menyebut untuk bersuara isu Gaza di hadapan Trump. Anwar berkata akan guna platform ASEAN untuk terus menyuarakan isu Gaza dan Palestin. Kita lihat sendiri adakah suara Anwar selaku Pengerusi ASEAN, lantang bercakap mengenai kebuluran dan kekejaman di Palestin yang dikerjakan tentera zionis dan ditaja oleh Amerika Syarikat, di hadapan Trump.

Sambil menempelak, Anwar juga berkata “kita kena pandai berunding, kena pandai berkawan.” Tambahnya lagi, “mereka yang menolak hubungan dengan Amerika Syarikat seperti tidak peduli akan kepentingan ekonomi dan negara.”

Persoalannya: sejak bila Islam mengajar umatnya mementingkan diri sendiri tatkala dunia dan seisinya dengan keras menentang kekejaman zionis? Adakah wajar “kena pandai berkawan dengan Amerika” dan “mementingkan ekonomi dan negara,” di saat penduduk Gaza sedang dibantai dengan peluru, bom dan kebuluran?

Bukankah Anwar sendiri pernah berkata bahawa “tampuk hegemoni Amerika sedang goyah – Washington semakin tidak mampu menentukan pilihan negara lain,” ketika diwawancara oleh Financial Times (FT) pada Februari 2024 lalu?

Sikap pragmatik yang berlebih-lebihan, gelojoh dan bermuka-muka ini sangat berbahaya kepada negara. Sikap Tun Dr. Mahathir jauh lebih tegas, berani dan berprinsip. Sebagai contoh, pada akhir 2019, Tun yang ketika itu sebagai Perdana Menteri ke-7 menolak pelawaan Trump ke satu sidang kemuncak khas di AS. Trump sebelum itu dilaporkan mengundang pemimpin ASEAN yang lain juga.

Alasan Tun mudah—”saya fikir ia tidak perlu dari awal lagi. Jika Amerika memanggil untuk mengadakan mesyuarat yang tidak dirancang, dari situ kami memutuskan yang ia tidak perlu,” katanya.

Ini bukan kali pertama Tun TIDAK tunduk pada kemahuan Amerika. Seawal tahun 1993 dan 1999, beliau menolak untuk hadir ke persidangan APEC yang turut dihadiri oleh Amerika Syarikat. Tahun 1993 menyaksikan peningkatan sikap anti-Islam dari masyarakat barat. Ketika itu Tun Dr. Mahathir dengan selamba berkata “Malaysia tak rugi kalau tak hadiri APEC,” yang ketika itu berlangsung di Seattle, Amerika Syarikat.

Tahun 1999, Tun M hantar Allahyarham Pak Lah ke persidangan APEC di New Zealand. Tindakan ini sebagai respons kepada tindakan Bill Clinton yang sebelum itu hanya menghantar Naib Presidennya, Al Gore ke sidang APEC di Kuala Lumpur. Tun memberitahu wartawan antarabangsa yang “ada perkara lain yang lebih penting untuk diselesaikan.”

Sejak itu, semakin lantang dunia di barat melabel Tun Dr. Mahathir sebagai anti-barat. Sebaliknya Tun hanya membalas dengan berkata “.........sebenarnya barat yang menentang kita (dunia Islam).”

Pada sekitar Februari 2020, Tun Dr. Mahathir pernah menggesa Trump untuk meletakkan jawatan. Dr Mahathir berkata, keputusan Trump tidak adil kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di rantau itu yang ketika ini turut dibantah berbilion orang di dunia.

Gesaan ini menimbulkan kekecewaan pihak kedutaan Amerika di Kuala Lumpur yang melabel kenyataan negarawan itu tidak mempamerkan semangat dialog membina yang telah menjadi asas hubungan antara kedua-dua negara sejak sekian lama. Akhirnya, sekitar tahun 2021, Trump diturunkan.

Anda ingat lagi bila tarikh Tun Dr. Mahathir minta Anwar Ibrahim letak jawatan sebagai Perdana Menteri? Saya tinggalkan jawapan itu kepada pembaca dan nilailah sendiri apa yang bakal berlaku. Kerana ketika itu kesombongan Trump dan tempelak Anwar akan dihukum, kerana mengabaikan pesan Mahathir.