HOME NASIONAL ASEAN DUNIA HUBUNGI NEWSLETTER PERSPEKTIF

5 Perkara Penting Mengenai Huru-Hara di Indonesia

A large crowd of protesters facing a line of riot police on a city street in Jakarta, Indonesia

Penunjuk perasaan di Jakarta mengadakan bantahan.

Keganasan menular di seluruh Indonesia, dan ia adalah cabaran terbesar bagi pemerintahan Prabowo Subianto dalam tempoh 10 bulan ini. Setakat ini, sekurang-kurangnya empat orang maut dalam insiden berasingan.

Indonesia dah bergolak dengan rasa tak puas hati sejak beberapa minggu lepas, terutamanya isu ekonomi macam elaun kewangan untuk ahli parlimen. Tapi, kematian seorang pemandu motosikal p-hailing pada Jumaat lepas telah mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran.

Berikut adalah lima perkara yang korang perlu tahu mengenai pergolakan di Indonesia:

Kemarahan Memuncak

Rasa tak puas hati yang mendalam meledak di jalan-jalan di Jakarta bila beberapa ratus penunjuk perasaan berkumpul di luar Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada Isnin. Diorang meluahkan kemarahan tentang elaun mewah ahli parlimen, termasuk elaun perumahan yang hampir 10 kali ganda gaji minimum kat ibu kota Indonesia.

Demonstrasi baru diteruskan lagi pada Khamis, dengan ratusan individu terus membantah sampai bawa ke waktu malam, menuntut gaji lebih tinggi. Polis bertindak untuk menyuraikan orang ramai menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.

Dalam tunjuk perasaan tu, sebuah van taktikal hitam dari unit separa tentera Kor Briged Mobil (Brimob) telah melanggar dan membunuh pemandu berumur 21 tahun, Affan Kurniawan.

Rakaman video tu terus jadi tular dan membangkitkan kemarahan orang ramai terhadap taktik polis.

Protes Merebak

Tunjuk perasaan makin menjadi-jadi lepas kematian Affan, bermula kat bandar-bandar seluruh negara.

Beribu-ribu orang, kebanyakannya pemandu motosikal "ojek" macam Affan, dah berdemonstrasi kat ibu pejabat Brimob dan pejabat polis di Jakarta.

Penunjuk perasaan baling mercun, bom Molotov, dan batu, manakala yang lain membakar.

Protes juga dah bermula kat bandar-bandar macam Yogyakarta, Bandung, Solo, dan Semarang, serta kat Medan, Sumatera Utara.

Sekurang-kurangnya tiga orang dah meninggal dunia dan empat cedera kat Makassar, Sulawesi Selatan, lepas penunjuk perasaan bakar sebuah bangunan majlis.

Itu Baru Sikit Sebenarnya

Pada bulan Februari, beribu-ribu penunjuk perasaan dah mula membantah pemotongan belanjawan besar-besaran oleh Prabowo.

Dia cakap dia potong belanjawan untuk biayai polisi-polisi popular, termasuk program makanan percuma bernilai bilion dolar untuk kanak-kanak sekolah dan ibu hamil.

Tapi, pakar-pakar kata ramai orang dah putus harapan dengan keadaan ekonomi Indonesia.

"Ada juga masalah dengan cukai yang tak adil, kuasa beli rakyat dah turun, dan kurang peluang pekerjaan," kata Bhima Yudhistira Adhinegara, pengarah eksekutif Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang, kepada AFP.

Lebih 42,000 orang dah diberhentikan kerja antara Januari hingga Jun, peningkatan 32 peratus berbanding tahun lepas, kata Kementerian Tenaga Kerja.

Pekerja perkhidmatan p-hailing macam Affan juga hadapi potongan gaji yang lebih besar dan waktu kerja yang lebih panjang.

Bhima kata: rasa tak puas hati memuncak sebab kurangnya empati yang ditunjukkan oleh ahli parlimen.

"Masalah-masalah ni dah bertimbun macam jerami kering, dan Dewan Perwakilan Rakyat dah menyalakan api," katanya.

"Ini baru sikit masalah yang kita nampak, ada lagi masalah yang lebih besar."

Ujian Buat Prabowo

Protes ni merupakan ujian terbesar Prabowo sejak dia pegang jawatan pada Oktober, dan pakar-pakar kata bekas jeneral tu mesti bertindak untuk redakan kemarahan awam.

"Kalau saya jadi presiden, saya akan pecat ketua Polis Negara dari jawatannya," kata Made Supriatma, seorang penyelidik pelawat kat Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura, kepada AFP.

"Rakyat perlukan gerak isyarat simbolik daripada dia." Prabowo dan ketua Polis Negara dah janji untuk siasat kematian Affan. Polis juga dah tahan tujuh pegawai Brimob, dengan mengatakan diorang dah langgar kod etika.

Made Supriatma kata Prabowo perlu nilai semula program-program utama macam skim makanan percuma dan dana kekayaan berdaulat baru bernilai bilion dolar, Danantara.

"Dia perlu ubah haluan, dan dia juga patut nilai semula kabinetnya," katanya.

Lebih Banyak Tunjuk Perasaan

Lebih banyak tunjuk perasaan dijangka akan berlaku berikutan kemarahan orang ramai yang masih bergelora.

Ratusan pelajar berkumpul kat luar ibu pejabat polis Jawa Timur di Surabaya pada Sabtu lepas.

Beberapa pemandu ojek kata kat media sosial yang diorang akan kembali ke jalanan tak lama lagi untuk membantah ahli parlimen.

Ada juga seruan dalam talian untuk lebih banyak protes kat luar parlimen minggu depan bagi menuntut pembubaran DPR.

"Saya percaya tunjuk perasaan ni akan berterusan untuk beberapa hari akan datang," kata Made.

Prabowo Batalkan Lawatan ke China

Presiden Prabowo pada Sabtu lalu dah putuskan untuk batalkan lawatannya ke China, bila tunjuk perasaan selama beberapa hari merebak di luar Jakarta, dengan beberapa bangunan parlimen wilayah dah dibakar.

Prabowo dijadualkan hadiri perarakan "Hari Kemenangan" di China pada 3 September untuk ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua.

"Presiden nak terus pantau (situasi di Indonesia) secara langsung... dan cari penyelesaian terbaik," kata jurucakap presiden Prasetyo Hadi dalam satu kenyataan video pada Sabtu.

"Presiden Prabowo meminta maaf pada kerajaan China kerana tak dapat hadiri jemputan itu."